"Gua cukup takut bila Sinaganaga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Sinaganaga berfikir. Sinaganaga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya." - Sufian Abas.

15 Oktober 2010

Menjelang PRU13: Belanjawan

Pak Akop melongo. Usop Ludin Tanah Lot melongo. Mat Trompet melongo. Sarjan Kassim melongo. Karim Driving School melongo. Jefri Shahbudin melongo. Mamang Sulan pun melongo [ironinya, dia memang tidak faham apa-apa pun tentang Melaysia]. Di radio, Perdana Menteri sedang menghunjam dedaun telinga-telinga mereka ini dengan pembentangan belanjawan. Pung pang pung pang, unjuran, pung pang pung pang, keluaran negara kasar, pung pang pung pang, rokok nak kasi naik harga lagi ke tak....

Latip Teksi Hitam Kuning baru sampai, lalu menyertai mereka. Di tangannya ada plastik teh ais yang telah pun separuh habis.

"Dari mana, Tip?" tanya Pak Akop.

"Dari hotel belanjawan di Jalan Ipoh, hantar pesenje," jawab Latip Teksi Hitam Kuning.

"Ooo," kata Pak Akop.

KOMA

"Sekianlah sahaja pembentangan belajawan negara pada kali ini. Saya sudahi dengan serangkap pantun... pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas. Tata!" Perdana Menteri mengakhiri pembentangannya.

Pow! Jefri Shahbudin tepuk pangkin. Yang lain-lain tersentak.

"Ceh! Penjawat awam dapat. Pekerja swasta dapat. Perempuan mengandung dapat. Budak-budak dapat. Pengguna jalan raya dapat. Bla bla bla...." jerkah Jefri Shahbudin, "Saya ni... habuk pun tak dapat apa-apa! Ini tak adil!!!"

"Aaa, kamu ni kerja apa sebenarnya, Jefri?" tanya Pak Akop.

"Penganggur!" jawab Jefri Shahbudin.

"CEHHH!!!"

Label:

19 September 2010

Menjelang PRU13: Dakwah

Semenjak akhbar melaporkan Ayah Nick menyeru orang Cina [Islam] agar turut menyampaikan dakwah kepada orang Melayu - Cina Goh pun tidak mahu ketinggalan untuk turut ber'dakwah' kepada kaum ibu di Stingarden yang aman permai itu.

"Nyonya-nyonya semua ada pernah tengok filem Internal Affair tak?" Cina Goh memulakan 'dakwah'nya.

Kak Pinoi angguk. Sepiah Mata Smokey angguk. Ani Beyonce angguk. Timah Lawa yang sedang memotong keh buah pun angguk juga. Semenjak Man In The Net 'main' kat TV3 - mereka memang tak pernah miss tengok cerita Cina.

"Dalam itu filem, lo hah, samseng hantar dia punya orang masuk polis, polis hantar dia punya orang masuk samseng," pokpek pokpek Cina Goh lagi, "Ini filem serupa macam Melaysia punya senario politik jugalah, lo hoh, LEBAMATA hantar dia punya orang masuk AMNO, AMNO hantar dia punya orang masuk LEBAMATA. Hoh, hujung-hujung, kita pun tak tau siapa akan kenyang siapa akan lapar!"

Kak Pinoi angguk. Sepiah Mata Smokey angguk. Ani Beyonce angguk. Timah Lawa tanya Cina Goh sama ada dia nak tambah ketupat dan rendang lagi ke tidak.

"Sudah kenyanglah, Nyonya!" kata Cina Goh, "Tapi, kalau mau kasi tambah satu dua ketoi lagi, apalah salahnyeeeee!"

Label:

08 Jun 2010

Menjelang PRU13: Viva la Vida

Gogah!

Yang tiada pengalit datang membawa batu blok. Yang tiada batu blok datang membawa simen. Yang tiada simen datang membawa papan. Yang tiada papan datang membawa beroti. Yang tiada beroti datang membawa zink. Yang tiada zink datang membawa paku zink. Yang tiada paku zink datang membawa ensel. Yang tiada ensel datang membawa paku. Yang tiada paku datang membawa tukul. Yang tiada tukul datang membawa gandin. Yang tiada gandin datang membawa gergaji kerat. Yang tiada gergaji kerat datang membawa gergaji belah. Yang tiada gergaji belah datang membawa ketam kayu. Yang tiada ketam kayu datang membawa kayu roll. Yang tiada kayu roll datang membawa sesiku L. Yang tiada sesiku L datang membawa timbang air. Yang tiada timbang air datang membawa tali tape. Yang tiada tali tape datang membawa pengalit.

"Apa hal yang kelam-kabut sangat tu, Rim?" tanya Kak Pinoi, "Nak bina kapal sukarelawan ke Gaza ke?"

"Tak!" jawab Karim Driving School, "Ribut malam tadi... jamban Nenek Munah Leper roboh menyembah bumi! Nak kena baiki dan dan ni jugak ni, Pinoi!"

Kak Pinoi baru kebah dari demam. Dia datang juga. Dengan membawa kertas tisu. "Demam - duduk rumahlah, Pinoi!!!!" kata Pak Akop, bekas ketua kampung.

"Alaaa, Pinoi nak gak tengok-tengokkk!!!" kata Pinoi, ala-ala manja-manja orang demam.

Gogah!

Label:

01 Jun 2010

Menjelang PRU13: Gostan

Gedegup!!!

Mat Trompet memanjangkan tengkuknya. Begitu juga dengan Wak Merah-Merah Taman Kok Doh, Mamang Sulan, Pak Akop, Usop Ludin Tanah Lot, dan Karim Driving School. Yang tak ada pada hari kejadian - Cina Goh dan Haji Dua Kupang. Sebab, Cina Goh masih memungut hutang mesin jahit Singer di serata pelusuk kampung. Sebab, Haji Dua Kupang masih belum pulang sejak semalam. Semalam, ada Merc ambil dia di rumah dan bawa dia keluar entah pergi mana.

Rupa-rupanya tayar lori bawa gas Sami Wel Wel dah terjerlus ke dalam pasir. Memang kampung Stingarden itu dibangunkan di atas bekas tapak lombong, berpasir; tayar kenderaan mudah terjerlus.

Veruuuufp! Veruuuuuuuuufp! Veruuuuuuuuuuuufppp! Bunyi tayar lori bergeser dengan pasir. Tetapi, lori itu tidak juga berjaya lepas daripada tersekat di situ.

"Guna gear gostan-lah, Sami!" laung Mat Trompet, "Gostannnnnn!!!"

"Jalan harus ke hadapan, Mat!" laung Sami Wel Wel, "bukan ke belakang!"

Mat Trompet menepuk dahinya. Begitu juga dengan Wak Merah-Merah Taman Kok Doh, Mamang Sulan, Pak Akop, Usop Ludin Tanah Lot, dan Karim Driving School. Yang tak tepuk dahi pada hari kejadian - Cina Goh dan Haji Dua Kupang. Sebab, Cina Goh masih memungut hutang mesin jahit Singer di serata pelusuk kampung. Sebab, Haji Dua Kupang masih belum pulang sejak semalam. Semalam, ada Merc ambil dia di rumah dan bawa dia keluar entah pergi mana.

Label:

22 Februari 2010

Menjelang PRU13: Ada kalanya Ila terpaksa melayan 10 lelaki dalam satu malam

Selaku ketua kampung, Usop Ludin Tanah Lot membahagi-bahagikan tugas kepada 'anak-anak buah' perempuannya.

Nenek Munah Leper diberi tugas untuk memasak paceri nenas. Kak Pinoi diberi tugas untuk memasak acar timun. Sepiah Mata Smokey diberi tugas untuk memasak ikan tiga rasa. Ani Beyonce diberi tugas untuk membasuh beras, sebab Wak Merah-merah Taman Kok Doh kata kalau Ani Benyonce yang membasuh beras - "Sedappp!" "Takde maknanyaaaa!" kata Ani Beyonce. Wak Merah-merah Taman Kok Doh mengekek-ngekek ketawa.

Makanya, tinggal Ila anak Sarjan Kassim sahajalah yang belum mempunyai tugasan.

KOMA

Di malam keraian, Ila anak Sarjan Kassim menyenduk nasi ke pinggan Karam Singh Walia, ke pinggan Usop Ludin Tanah Lot, ke pinggan Pak Akop, ke pinggan Karim Driving School, ke pinggan Mat Trompet, ke pinggan Mamang Sulan, ke pinggan Lebai Sayuti, ke pinggan Hassan Kedai Runcit, ke pinggan Haji Dua Kupang, dan ke pinggan Cikgu Osman yang duduk di meja utama.

Mail Ketapang menumbuk-numbuk tapak tangan kerana tidak dapat duduk semeja. "Nasinya, Mail!" pelawa Wak Merah-merah Taman Kok Doh yang sedang berkira-kira hendak menyenduk nasi ke pinggan Mail Ketapang di sebelahnya. "Takde maknanyaaaa!" kata Mail Ketapang. Wak Merah-merah Taman Kok Doh mengekek-ngekek ketawa.

Label:

18 Februari 2010

Menjelang PRU13: Rakyat [didahulukan...]

Hari itu Kuala Lumpur tidak seperti selalu-selalu. Hari itu Kuala Lumpur sangat panas. Dan, hari itu Usup Ludin Tanah Lot telah memanggil 'anak-anak buahnya' supaya berkumpul.

"Kita nak buat keraian!" kata Usop Ludin Tanah Lot, selaku Ketua Kampung Stingarden.

"Kita nak panggil Yang Berhormat mana untuk acara perasmian?" tanya Kak Pinoi.

"Karam Singh Walia!" jawab Usop Ludin Tanah Lot.

Orang-orang kampung bersorak-sorai.

Jauh di belakang reban ayam - Mat Trompet dan beberapa orang anak muda Kampung Stingarden sedang menyiapkan kain rentang.

'Who need Wakil Rakyat [anymore] when you can have Aduan Rakyat!'

Label:

10 Januari 2010

Menjelang PRU13: Rukun negara yang pertama

Semenjak Lebai Sayuti dan Mamang Sulan bertelagah tentang 'boleh tak boleh, boleh tak boleh', orang-orang kampung telah mengalihkan saluran untuk merujuk mereka kepada Cikgu Hasan Umbut kerana seperti lazimnya - manusia lebih mempercayai kata-kata bijak pandai agama, doktor dan guru berbanding yang lain-lain.

Tetapi, oleh kerana orang-orang kampung tidak begitu pasti apa pegangan hidup Cikgu Hasan Umbut - entahkan Islam Plural, entahkan Islam Liberal, entahkan Syiah, entahkan Sunnah, entahkan Qadiani, entahkan Kakak-kakak Dalam Islam - maka orang-orang kampung telah mengalihkan saluran untuk merujuk mereka kepada Sepiah Bermata Smokey.

"Kalau akak makan ubat ni... boleh kurus ke, Piah?" tanya Kak Pinoi.

"Jangan kata boleh kurus... saya gerenti, dalam masa tiga bulan sahaja badan akan jadi bergetah, youuuu!" jawab Sepiah Mata Smokey sambil mencicah biskut Merry ke dalam teh Ceylon di cawannya.

Ani Beyonce mengangguk-angguk dan mengiya-iyakan kata-kata Sepiah Mata Smokey. Sekejap dia bangun, berlagak seperti ratu kebaya dan menyelusuri kontur badannya yang 'bergetah' dengan tangan, "Tiru macam sayaaaaa!"

Tik! Tik! Tik!

"Opcot!"

"Aaa... Ubat kuat untuk kesejahteraan suami isteri ada ke, Piah?"

"Oh! Abang Usop rupanya... Piah ingat siapalah tadi!"

Lima minit kemudian, Usop Ludin Tanah Lot dah duduk bertimpuh di sebelah Sepiah Mata Smokey sambil membelek-belek kotak ubat dan Ani Beyonce sedang mendemonstrasikan kaedah penggunaannya dengan mengosok-gosokkan jari telunjuk kanannya ke jari telunjuk kirinya - atas ke bawah, atas ke bawah, atas ke bawah.

"Boleh percaya ke ni, Piah?"

Label:

22 Oktober 2009

Menjelang PRU13: Bajet 2010

Sebuah Nissan Sunny membrek emergency. Pintu kereta terkuak. Kak Pinoi berlari-lari keluar; menekup muka sambil menangis teresak-esak.

"Kenapa pula dengan Pinoi tu, Rimmm?" laung Mat Trompet kepada Karim Driving School yang menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal, "Najib tak umum bonus untuk kakitangan Kerajaan ke?"

"Tak..." laung Karim Driving School kepada Mat Trompet yang sedang mengusap-usap baritone pusakanya, "Pinoi tak reti nak bajet clutch dengan minyak (accelerator)! Sampai kat slope 'ja enjin mati!"

Jarak mereka berdiri tak sampai pun lima meter. Tetapi, kenapa entah, mereka berdua melaung-laung di antara satu sama lain, alahai!

"So, tak pass-lah?"

"Tak!"

Label:

18 Ogos 2009

Menjelang PRU13: Kong Kang

Di atas pangkin, Kak Pinoi sedang duduk-duduk dan membanding-bandingkan tajuk-tajuk utama berita sukan di akhbar semalam dan hari ini. Karim Driving School sedang mengekek-ngekek sambil menekan-nekan perut.

"Hah! Cuba Pinoi baca tajuk hok semalam!"

"'Malaysia Bermula Garang.'"

"Hah! Cuba Pinoi baca tajuk hok hari ni pula!"

"'Perseorangan Wanita Negara, Perseorangan Lelaki Negara, Bergu Campuran Negara, Bergu Wanita Negara, Bergu Lelaki Negara tersadai di pertengahan jalan.'"

Ha ha ha. Kak Pinoi mengekek-ngekek. Karim Driving School pun mengekek-ngekek. Kak Pinoi menampar tubuh Karim Driving School dengan suratkhabar. Kemudian, mereka sama-sama terdiam dan kembali merenung ke arah kereta sekolah memandu Karim Driving School yang tersadai sejak pagi tadi.

"Pasukan Malaysia ni macam bateri keretalah, Pinoi!" getus Karim Driving School antara dengar tak dengar.

"Berat? Keras? Kena bubuh air selalu? He he." tanya Kak Pinoi.

"Tak!" jawab Karim Driving School, "Kong!!!!!"

HA HA HA. Kak Pinoi mengekek-ngekek. Karim Driving School pun mengekek-ngekek. Cina Ah Keong yang berjanji "sikit jam garenti gua sampai sanalah, tauke" nak hantarkan bateri kereta yang baharu masih tak nampak batang hidungnya lagi.

Label:

22 Julai 2009

Menjelang PRU13: Transformasi

Kak Pinoi, Sepiah Mata Smokey, dan Lijah Somel duduk-duduk di atas sofa sambil menonton Bio-Nik.

"Eh Sepiah," kata Kak Pinoi, "Karim Driving School kata... nyam nyam nyam... kau dah beli Transformer! Mana ke dia nye?"

"Ok, bangun semua," kata Sepiah Mata Smokey, "Bangun, bangun, bangun!"

Sepiah Mata Smokey cuit sana cuit sini usik sana usik sini lipat sana lipat sini; terkangkang terkoyak. Kak Pinoi dan Lijah Somel tengokkan sahaja. Dalam pada itu, mulut mereka masih mengunyah Kentaki.

"Taraaaaaaaaa!" kata Sepiah Mata Smokey, kemudian.

"Ni bukan Transformer-lah, Sepiah!" kata Lijah Somel, "Ini sofa beddddddd!"

"Welllll...!" kata Sepiah Mata Smokey, sambil menjongketkan kedua-dua belah bahunya.

Kak Pinoi, Sepiah Mata Smokey, dan Lijah Somel baring-baring di atas sofa bed sambil menonton Bio-Nik.

Label:

15 April 2009

Menjelang PRU13: O mega mendung di angkasa

Nasi pun dah masak. Paceri nenas dah siap masak. Ikan sepat masin pun dah siap goreng. Telur asin, acar buah, papadum, kentang putar, kuih cik mek molek... semua dah siap tersedia dah. Tinggal tunggu menteri nak datang saja lagi.

Nenek Munah Leper capai cili merah, dia belah empat, dia kelepet-kelepet, dia buat cili merah tu macam bunga, dan dia selit-selit kat dalam hidangan paceri nenas tu. Cantik! Macam taman botani.

Sarjan Kassim ketuk-ketuk kotak Dunhil dua puluh batang ke atas tapak tangan supaya tembakaunya padat, dia siat plastik pembungkusnya, dia tarik setengah keluar beberapa batang rokoknya, dan dia sua kepada yang lain-lain, "Rokok rewang!", katanya, sambil tersengih-sengih, macam dubuk baru dapat gigit tengkuk seekor gazel.

Mamang Sulan ambil sebatang, Pak Akop ambil sebatang, Mat Trompet ambil sebatang, Mat Nangka ambil sebatang, Karim Driving School ambil dua batang, "Sebatang lagi aku nak buat bekal pergi kerja ya!", Wak Merah-merah Taman Kok Doh ambil sebatang, Mat Sanggul ambil sebatang, Hassan Kedai Runcit ambil sebatang, Usop Ludin Tanah Lot ambil sebatang, mula-mula Mail Ketapang nak ambil juga sebatang, tetapi apabila dikenangkan yang menyua rokok rewang itu Sarjan Kassim, abah Si Ila, bakal bapa mertuanya, maka dibatalkan hasrat murninya itu, dan dia kata, "Saya sekolah lagi, bah... eh..., pak cik!". Selebihnya, Sarjan Kassim [ambil] masuk poket.

"Pelik juga ya, Sim!" Mat Trompet memulakan bual bicara, sambil asap rokok berkepul-kepul menerobos keluar dari sela-sela giginya, "Kalau nikotina dia orang boleh kurangkan atau tambahkan kandungannya, tar pun dia orang boleh kurangkan atau tambahkan kandungannya..." sebentar dia mem-pause-kan hujah-hujahnya dan memicingkan mata; memberikan sepenuh tumpuan kepada asap yang menari inang lenggang Mak Limah pada hujung rokoknya, dia menyambung hujah-hujahnya kemudian, "...takkanlah dia orang tak boleh nak tambahkan Omega 3 kat dalam rokok, kan?"

Orang kampung Setingarden itu mengekek-ngekek, tetapi jauh di sudut hati mereka, "Ya tak ya juga ya... mmm..., brilliant sungguh pemikiran Mat Trompet ni! Ya, takkanlah tak boleh!!!?"

Label:

25 Mac 2009

Menjelang PRU13: Bagaikan puteri

Kelisa membrek. Ngam-ngam di hadapan Kak Pinoi yang sedang menjemur pakaian dalam di ampaian. Pintu Kelisa berkeriut. Sepiah Bermata Smokey keluar menggugu.

"Laaa... Kenapa ni Piah? Kau kalah bertanding ke? Atau... abang JJ kau kalah bertanding ke?" tanya Kak Pinoi.

"Taaak!" jawab Sepiah Bermata Smokey. Menggugu.

"Habis tuuu?" tanya KaK Pinoi.

"Semua orang pakai tudung warna merah teluki, kaaak... hik hik.... I seorang saja yang pakai tudung warna biru remia... hik hik.... Malu I, kaaak! Maluuu!" jawab Sepiah Bermata Smokey. Menggugu.

"Laaaaaaaaaaaaaaaaaa...." kata Kak Pinoi, pendek, tapi panjaaaaang.

Label:

17 Februari 2009

Menjelang PRU13: Lompat

Pak Akop merenung tanah. Pak Akop merenung tanah lama-lama. Semakin lama direnungnya tanah, semakin hatinya berbelah bagi.

“Apa lagi, Kop… lompatlah!” kata Mamang Sulan. Mamang Sulan, kalau dia tak lompat pun tak apa, sebab dia PATI.

Pak Akop mengeleng kepala. Pak Akop mengeleng kepala lama-lama. Semakin lama digelengnya kepala, semakin fikirannya rasa macam nak percaya dengan tidak.

“Apa lagi, Kop… lompatlah! If you jump, I’ll jump!” kata Karim Driving School. Serentak dengan itu Karim Driving School, Mamang Sulan, Sepiah Mata Smokey mengekek-ngekek ketawa.

“Melompat-melompat ni perbuatan yang hina, Kop!” kata Usop Ludin Tanah Lot. Usop Ludin Tanah Lot, kalau dia tak lompat pun tak apa, sebab dia dah dapat jawatan tinggi. Tak ada apa yang dia nak rasa tak puas hati lagi.

Pak Akop merenung tanah, lagi. Pak Akop merenung tanah lama-lama, lagi. Tapi, pada kali ini, keputusannya muktamat. Sambil menggaru-garu bontotnya yang tak gatal, dia berkata, “Piah! Pak Akop kasi Piah lompat dululah!”

Tanpa membuang masa, Sepiah Mata Smokey menyinsing kain. Bebola mata Pak Akop, bebola mata Karim Driving School, bebola mata Mamang Sulan, bebola mata Usop Ludin Tanah Lot berpiknik. Ada bebola ikan bergolek-golek entah dari mana datangnya dan entah siapa punya. Mat Trompet menahannya dengan tapak kasut Fong Keong. Lalu Mat Trompet menyepaknya ke arah Mat Jais. Satu hantaran yang cantik, kata Hasbullah Awang, kalau dia berada di situ.

Sepiah Mata Smokey mengundur beberapa langkah. Kemudian pegun. Kemudian menarik nafas dalam-dalam. Menahan nafasnya sebentar. Lalu mula berlari. Zuuuup! Bagai helang menyonsong angin, dia melompat ke petak nombor lima. Duuuup!

Baru sahaja Sepiah Mata Smokey hendak membongkong dan mengambil gundunya…

“Bentilah main teng-teng tu, Piah!” kata Kak Pinoi. “Tolong Kak Pinoi buat cupcake lagi pekdahhh!!!”

Mat Jais cuma menghidu-hidu bebola ikan itu; tidak mahu dimakannya. Sebab Mat Jais cuma makan Friskies.

Label:

05 Februari 2009

Menjelang PRU13: Bubar

Mat Sanggul cuit-cuit Usop Ludin Tanah Lot yang pada tangan kanannya masih pagang sudip bancuh sirap dan pada tangan kirinya masih menongkat pinggangnya yang separa patah macam sotong itu. Usop Ludin buat-buat muka meluat. Mat Sanggul menyeringai. Jarang benar dia mahu cuit-cuit orang lelaki. Tapi, pada kali ini dia terpaksa.

“Ni, Sop!” Kata Mat Sanggul. “Aaa... Nenek Munah Leper tanya, jadi ke Dewan Undangan Negeri Perak tu bubar?”

“Entahlah Gul”, Kata Usop Ludin Tanah Lot. “Kalau mengikut statistiknya... dah patut kena bubarlah!”

Mat Sanggul pandang langit, congak-congak palam kepala, jari telunjuk kanannya me-tap-tap bibirnya yang lebam dek merokok. “Neeeek! Usop Ludin kata... BUBARRRRR!!!”

“Hahhh? Bubar? Apa yang bubar?” Jerit Nenek Munah Leper. “Laaa... Yang aku suruh pergi tanya... BUBURRRRR!!! Nak masak bubur ke untuk juadah minum petang niiii!!!!”

Tap!

Label:

23 Januari 2009

Menjelang PRU13: Keledar (mati tetap mati)

Nenek Munah Leper melenyek-lenyek ubi keledek empuk di dalam pasu. Kak Pinoi teka, Nenek Munah Leper nak buat kuih cik mek molek. Sepiah bermata smokey teka, Nenek Munah Leper nak buat kuih cucur badak. “Badak!” “Molek!” Badak!” “Molek!” Badak!” “Molek!” Nenek Munah Leper rasa macam nak tempeleng ’ja kedua-duanya.

Karim Driving School wongweng wongweng. Mata Usop Ludin, mata Pak Akop, mata Wak Merah-merah Taman Kok Doh, mata Mamang Sulan, mata Mat Trompet – mengonek wongweng wongweng Karim Driving School.

“Tuan tuan dan puan puan! Kerajaan telah mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk depan dan di tempat duduk belakang kereta. Kerajaan juga telah mewajibkan pemakaian topi keledar yang lima tahun sahaja jangka hayatnya. Bayangkan tuan tuan dan puan puan…, kalau Menteri yang meluluskan undang-undang tersebut mengambil satu peratus ’ja atas keuntungan penghasilan keledar-keledar tersebut… sudah berapa punya banyak untung ni? Kalau accident... mati tetap mati!” Kata Karim Driving School.

“Hah! Kalau Pak Akoplah menteri yang berkenaan… apa pula Pak Akop punya idea?” Tanya Mat Trompet, tiba-tiba.

“Speed no limit! Dengan syarat, semua pemandu dan penumpang kereta kena pakai topi keledar yang lima tahun sahaja jangka hayatnya … wah, sudah berapa punya banyak untung ni! Kalau accident... mati tetap mati! Ha ha ha!” Kata Pak Akop.

“Badak!” “Molek!” Badak!” “Molek!” Badak!” “Molek!” Nenek Munah Leper rasa macam nak tempeleng ’ja ‘badak’ dengan ‘cik mek molek’ tu.

Label:

25 November 2008

Menjelang PRU13: Kemelut sayap wanita

“Enam kali bayarlah, Piah!” Nenek Munah Leper kata. Sambil tangannya mengibas-ngibas sepasang jubah warna hitam yang Sepiah Mata Smokey jual.

“Hisssshhh, tak bolehlah macam tu, Nek! Tiga kali bayar oklah!” Sepiah Mata Smokey kata. “Lagi pun, ini semua kehendak akar umbi ni, Nek!”

“Enam kali bayarlah, Piah!”

“Tiga kali bayarlah, Nek!”

[repeat till fade]

Nenek Munah leper mengerenyot. Sepiah Mata Smokey separa mengekek. Sesekali matanya yang menyihir itu mengerling ke arah Karim Driving School yang sedang mengenyut batang kemuncup.

“Hish hish hish! Orang perempuan ni... kalau tak berebut ‘sudip’... tak sah!” Karim Driving School kata. Sambil buat-buat muka meluat. “Pinoiiiii! Cepatlah!!!! Kalau tak berlatih... macamana nak lulus ujian memandu nantiiiii!”

“Kejaplahhhh! Pinoi tengah isi borang pencalonan untuk jawatan nombor dua niiiii! Kehendak akar umbi juga niiiii! Bang Karim pergilah panaskan enjin kereta tu duluuuuu!” Kak Pinoi kata. “And one more thinggg... bila masa pula kami berebut sudip ni, Bang Karimmmm?”

*Tap!*

Karim Driving School tepuk dahi.

Label:

16 September 2008

Menjelang PRU13: Tarapapa beb, tarapapa beb

Arakian adapun, diceritakan oleh orang banyak, sementelah lauk paceri nenas dan nasi minyak bertatahkan raisin itu telah usai dimasak, dengan tidak semena-mena, langit menjadi guguk, guruh berdentum-dentam dan kilat sabung-menyabung, maka sekelian penduduk kampung itu pun habis histerialah. Berlari lintang-pukanglah mereka ke hulu ke hilir sambil terpekik terlolonglah, “16 September! 16 September!”

Hatta, terlihat oleh Mamang Sulan akan perlakuan sekalian penduduk kampung itu, dengan tanpa usul periksa, maka Mamang Sulan pun habis histerilah juga. Berlari lintang-pukanglah Mamang Sulan ke hulu ke hilir sambil terpekik terlolonglah juga, ingatnya ada anggota RELA dan Polis dan KDN sedang membuat operasi bersepadu Ops PATI. Lalu menyoroklah akan Mamang Sulan di tempat biasa – di dalam tong dram.

“Bertenang semua, bertenang!!!” kedengaran suara Kak Pinoi dari corong pembesar suara, “Enam belas September… tak jadi!!! Saya ulangi… tak jadi!!! Tunda ke tarikh lain!!!”

Maka, setelah pengumuman itu sahajalah baru sekalian penduduk kampung kembali bertenang dan menyambung mengerjakan pekerjaan masing-masing.

“Habis... lama lagi le baru kita dapat pakai baju raya ni, Sop! Ha ha.” tanya Mat Trompet.

“Eeeeee, abang Pet ni tau... suke buat lawak le!” jawab Usop Ludin Tanah Lot, “Nyammmpah!”

Label:

08 September 2008

Menjelang PRU13: Rasis

“Kita ni Melayu. Melayu ni loher. Tak melawan. Diam saja.” kata Wak Merah-merah Taman Kok Doh sambil menyudip-nyudip nasi minyak di dalam periuk besar, “Kalau kita kata orang India tu kaum pendatang – orang kata kita rasis – kita diam, tak melawan. Kalau kita kata orang Cina tu kaum pendatang – orang kata kita rasis – kita diam, tak melawan juga, kita ‘ya’ kan saja. Habis-habis pun… kita minta maaf, soli latok, soli latok! Kita cakap… kita tak buat lagi dahhh, sumpahhh!”

Mat Trompet, Lebai Sayuti, Hassan Kedai Runcit, Haji Dua Kupang, Mat Nangka angguk-anggukkan kepala. Mamang Sulan, si Indon pendatang tu pun angguk-anggukkan kepala, juga. Tak berani mereka nak angkat muka. Tak berani mereka nak nafikan cakap Wak Merah-merah Taman Kok Doh. Al-maklumlah, Wak Merah-merah Taman Kok Doh pernah jadi ahli perwakilan dalam Kooperasi Serbaguna. Tahun ni dia tak bertanding. Bagi ‘chance’ kat yang muda-muda, katanya. Dah lama dalam kooperasi dah, dah puas dahhh.

“Hah! Dah boleh ditabur rasis ke dalam nasi minyak kita tuuu, Wak?” tanya Pak Akop sambil mencekak pinggang.

“Hish! Pak Akop, itu bukan rasislah… itu raisinnnn!” kata Sepiah yang sedang mengukir-ngukir buah tembikai; membentuk - bakul sia. Di belakang telinganya ada bunyi orang mengekek.

Label:

15 Julai 2008

Menjelang PRU13: Kausaliti

“Kalau esok aku jadi ketua kampunglah, memerintahlah… lusa, zup zuuup, pili air dah siap terpacak dah kat dalam rumah masing-masing. Tak payah dah kamu semua nak berebut-rebut ambil air di pili awam lagi! Dan lagi, bukan dua puluh… bahkan, lima puluh meter padu air tu aku bagi free ‘ja!” kata Mat Trompet, sambil jari telunjuknya mengetuk-ngetuk lantai pangkin.

Pak Akop, Lebai Sayuti, Hassan Kedai Runcit, Wak Merah-merah Taman Kok Doh, Haji Dua Kupang, Mat Nangka, Mat Sanggul, Mat Rojek, Harun Serkam, Mamang Sulan, Sarjan Kassim, Cikgu Osman, Sepiah kata, “Ooooo….”

Meluat sungguh Usop Ludin dengan manifesto Mat Trompet tu, “Tapi, kalau esok kau tak jadi…”

Tidak sempat hendak dihabiskannya ayat. Apabila sebuah Nissan Sunny membrek emergency betul-betul di hadapan mereka. Pintu kereta terkuak. Kak Pinoi berlari keluar. Sambil menangis teresak-esak.

“Hah! Apa pasal tu?” tanya Mat Trompet.

“Ermmm… Jalan jam!” jawab Karim Driving School.

“Ada roadblock kat jalan Parlimen lagi ke?” tanya Mat Trompet.

“Tak!” jawab Karim Driving School, “Pinoi… tekan brek ‘ja mati enjin, tekan brek ‘ja mati enjin, tekan brek ‘ja mati enjin… mau tak jam satu kilometer kereta lain kat belakang!”

Label:

08 Julai 2008

Menjelang PRU13: Budak-budak main belakang

Wa salam mu.

Budak-budak usai mengaji. Letak duri landak. Letak muqadam. Letak rehal. Lari sana lari sini. Lompat sana lompat sini. Cuit sana cuit sini. Police and thief mereka dah jadi.

Macam-macam hallah, kata Usop Ludin, lepas satu, satu… tak habis, habis!!! Tangan bersenduknya, macam selalu-selalu, menyangga pinggangnya yang semacam akan patah itu. Ini kali ketiga Usop Ludin membancuh sirap pada hari itu.

Kak Pinoi dakwa. Mat Trompet cuit punggung dia. Sepiah pun dakwa. Mat Trompet ada juga cuit punggung dia. Mat Trompet pula dakwa. Mana ada dia cuit punggung Kak Pinoi. Mana ada juga dia cuit punggung Sepiah. Lagi pun, punggung bukan muse buat dia. Muse Mat Trompet - ketiak! Eeeeiiuuuu… Cepat-cepat Kak Pinoi kepit ketiak. Cepat-cepat Sepiah kepit ketiak. Ila pun. Nenek Munah Leper pun. Pak Akop pun. Mamang Sulan mengekek.

Satu budak sudah terjerongkang di atas pangkin. Beberapa biji ubi kentang terpelanting. Nenek Munah Leper mengurut-ngurut dadanya; beristighfar panjang.

“Hish, budak-budak ni… Pergi main belakang!!!!!” jerkah Usop Ludin.

Wa salam mu.

Label: