"Gua cukup takut bila Sinaganaga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Sinaganaga berfikir. Sinaganaga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya." - Sufian Abas.

24 Februari 2006

Pendek. Tapi puas

Di dalam studio kami. Yang luas saujana mata memandang. Zu beritahu. Dia suka blog abang Naga. 'Pendek'. Tapi, dia 'puas'.

Aku. Dan. Dirah. Ketawa mengekek. Macam pontianak jumpa paku setengah inci.

“Kau mencarut ek Zu?” Aku.

Ha ha.

16 Februari 2006

Kemas kabinet

Hablur-hablur ais sudah lama menyatu menjadi rabung-rabung beku di birai bumbung yang kemudiannya mencair lalu jatuh satu satu menikam bumi ketika burung-burung keria masih lagi berimigrasi.

Itu. Tanda musim sejuk sudah di penghujung. Tetapi, cuaca masih lagi sejuk. Seperti selalu-selalu.

Miyuki tampak cantik. Dalam stoking nipis panjang paras pinggang. Dalam skirt pendek dengan motif bunga-bunga halus. Dalam blaus polos warna ‘off white’. Seperti selalu-selalu.

Tiada aktiviti menarik yang berlangsung. Kecuali minum-minum koko panas. Seperti selalu-selalu.

Kita kemas kabinet, ajak aku.

Kabinet kayu. Warna coklat kusam. Dengan tiga laci bertingkat. Lampu suluh bermentol malap, pinggan-pinggan tembikar retak tiga puluh satu, dan replika rumah-rumah kotak separuh siap di laci paling atas. Buku-buku kisah perdagangan antarabangsa di laci tengah. Tahi lipas di laci paling bawah.

“Lampu suluh ni?” Tanya aku.

“Buang! Kita beli baru.” Jawab dia.

“Pinggan dan replika rumah ni?” Tanya aku.

“Simpan! Sayaaaaaaaang...” Jawab dia.

Jadi. Kemas ke apa ni?

07 Februari 2006

Kebun Pak Hussain

Abah. Kalau tembak komunis. Dan sipi. Dia tetap cerita kepada orang. Dengan sekali rat-tat-tat-tat sahaja - sepuluh dua puluh orang. Komunis tumbang. Abah bukan keletong. Abah cuma BOM saja. Ha ha.

Dulu.

Di belakang kuaters (kuaters sarjan tau!) kami. Abah gembur tanah. Abah buat batas. Abah tanam sayur. Abah bubuh baja kompos. Abah siram air. Bendir ada. Jagung ada. Kacang panjang ada. Kacang botol ada. Kacang tanah ada. Sawi ada. Salad ada. Terung ada. Timun ada. Petola ada. Peria katak ada. Tebu ada. Pisang ada. Tomato ada. Cili ada. Siput babi ada. Cacing ada. Ulat warna merah yang suka berlaga buntut ada.

Pokok daun kari pun ada juga. Tapi. Abah tanam dalam tin Planta. Planta paling besar. Abah letak dalam bilik mandi. Supaya daun itu tak terdedah terus kepada cahaya matahari. Apabila emak nak guna daun kari - emak petik satu dua satu dua. Kemudian akan tumbuh cambah baru satu dua satu dua jugalah. Abah tak bagi petik banyak-banyak! Dia sayang kat pokok kari tu. Macamlah dalam kem Batu 10 tu abah seorang sahaja yang tanam pokok daun kari. Ha ha.

KOMA

Abah tebang pisang. Abah semai benih timun. Pada rongga-rongga batang pisang. Dan. Abah letak di tepi singki.

Satu dua hari lepas tu...

Abah jerit. Bahkan, abah jerit-jerit. Panggil emak. “Teh! Teh!! Cepat! Cepat!! Mari sini! Sini!!!!” Emak tutup dapur gas. Emak betulkan kain A-Go-Gonya. Dan. Beroleng punggung. Mendapatkan abah. Mungkin ular sawa sudah masuk rumah. Dan dah belit abah. Ha ha.

“Apa?” Emak.

“See see! Timun abang dah besaaaaaaaaaarr dah! See see!” Abah.

Besar ke apa... Biji benih timun tu. Baru nak bercambah. Baru nak tumbuh pucuk. Besar ke apa...

Dulu.

Abah. Kalau tembak komunis. Dan sipi. Dia tetap cerita kepada orang. Dengan sekali rat-tat-tat-tat sahaja - sepuluh dua puluh orang. Komunis tumbang. Abah bukan keletong. Abah cuma BOM saja. Ha ha.

02 Februari 2006

Tertib memegang mangkok nasi

Di luar, salji masih lagi melebat.

Aku. Miyuki. Duduk di kotatsu. Dengan berlipat lutut.

Hidangan makan malam kami. Nasi panas. Ikan panggang. Terung bakar. Sup miso. Sedikit soyu. Dan. Teh Jepun.

Miyuki. Dengan... Hujung jari ibunya di bibir mangkuk. Hujung jari hantunya dan jari manisnya di buntut mangkuk. Hujung jari telunjuknya di sisi mangkuk. Dan. Hujung jari kelengkengnya dibiarkan lepas bebas; kadang kala menguit-nguit seperti sesungut belalang kunyit hendak mengawan.

Tertib Miyuki ini sahaja sudah bisa mencairkan segunung salji di Tateyama, aduhai!!!

KOMA

Selepas makan. Miyuki bersiap untuk mandi.

“Psst! Boleh datang ke kamar mandi sekejap!” Miyuki.

“Damn! Baru pagi tadi sahaja aku ganti bulb itu dengan yang baru. Terbakarkah lagi?” Aku.

Di luar, salji masih lagi melebat.