"Gua cukup takut bila Sinaganaga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Sinaganaga berfikir. Sinaganaga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya." - Sufian Abas.

08 Mac 2011

Hujan Pagi

Pagi itu awan gemawan menghempaskan hujan.

Dia terbangkit dari lena yang tersekat-sekat. Di birai katil, dengan separuh tubuh masih berselimut sepi, dia mengosok-gosok lohong hatinya yang bolong. Tiada apa-apa perasaan yang bangkit daripada perlakuan itu.

Kemudian dia teringat akan sesuatu. Dengan sepantas kilat dia berlari keluar dan menuju ke lif. Dan menunggu...

22

21

20

19

18

17

16

15...

Dia menghitung nombor yang menyusut pada panel lif itu dengan mata yang mengereceng.

14

13

12

11

10

9...

"Awal bangun hari ni, bang? Nak ke mana [ketika] hujan-hujan begini?" Ada suara yang menyapa. Dia tidak tahu siapa, kerana dia tidak pernah berpaling untuk mengetahui siapakah empunya suara yang bertanya.

"Nak pergi kutip hati gua!" Dia kata. Ringkas dan padat. Tapi, masih lagi samar-samar.

Telah sekian lama, setiap kali hujan turun, dia akan wongweng di padang ilalang yang basah; berharap agar awan gemawan menjatuhkan semula hatinya yang dulu tersangkut di atas sana.

8

7

6

5...

[Lif dahlah tinggal satu sahaja yang masih elok... tak mahu berhenti kat 'floor' gua pula tu!]

4

3

2

1

G.

*Ting!*

Label:

16 Disember 2010

Wet Pussy

Hari itu adalah sama seperti hari-hari selalunya: panas bagaikan mengundang hujan.

Penutup botol losyen berwarna merah teluki itu memang tidak tertutup. Ada noda losyen lama yang berkeruping pada hujung muncungnya. Mata Adila terkejip-kejip dan alis matanya mengernyit-ngernyit. Dia bangkit dari kerusi malas; berjalan topang-topang dan wongweng-wongweng tanpa seurat benang di birai kolam renang apartmen mewah itu, kemudian.

Seketika, dahaganya datang. Tanpa teragak-agak, dia meneguk air kolam renang apartmen mewah itu. Tetapi, entah apa sial yang mendatang, dengan tidak semena-mena kakinya cemerkap; Adila tersunjam dan berdebur ke dalamnya. Tetapi, mujurlah Adila dapat cepat-cepat berpaut di birai kolam renang apartmen mewah itu. Kalau tidak - sudah tentu dia akan mati lemas! Dan, namanya akan terpampang di dada akhbar, 'Model popular lemas, polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut'.

"Kan mama dah cakap... jangan main kat tepi kolam tu! Degil!!!" Itu suara Puan Rok, emak Adila.

Dengan susah payah Adila berjaya keluar dari kolam renang itu. Puan Rok segera mendatanginya dan menjilat-jilat bulu lencun Adila yang berwarna malam itu, kemudian.

"Kejap lagi keringlah ni..." kata Puan Rok. "Lepas kering nanti bolehlah pergi makan Whiskas!"

Brrrr....

Label:

06 November 2009

Metalmorfosis

Nama dia Firdaus. [Macam nama sorga].

Ketika Firdaus baru selesai mandi... tiba-tiba, di hatinya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Bukan itu sahaja, malah, di matanya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di hidungnya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di mulutnya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di lidahnya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di telinganya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di lehernya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di bahunya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di dadanya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di pusatnya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di penis-nya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di punggungnya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di tangannya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Di kakinya tumbuh kuntum-kuntum bunga. Bukan itu sahaja, malah, pada setiap pelipat-pelipat sendinya dan pada setiap liang-liang romanya tumbuh putik-putik bunga. Sehinggakan pada suatu hari datang seekor burung kelicap lalu menghisap madunya.

Lantas, berkata Firdaus, "Hello kelicap! Lu ada Surya tak? Bak mari sebatang!"

Label:

09 September 2009

Kepada sesetengah orang, nombor 090909 adalah 'bersama selamanya'

Masa tu, Jimi Mahmud sedang mengetip kuku. Teh Junaidah yang sedang terbang-terbang jatuh semakin menghampirinya.

"Pssst! Pssst! Jimi!" gamit Teh Junaidah, "Hari ni nombor cantik, tau! Kosong sembilan kosong sembilan kosong sembilan!" kata Teh Junaidah lagi, "Kita tak mahu buat apa-apa acara ke untuk memperingatinya, Jimi?" tambahnya.

"Ermmmm!" keluh Jimi Mahmud, "Kalau nak buat upacara puja syaitan pun... syaitan pula tak ada, sebab syaitan dah kena gari dalam bulan-bulan puasa ni!"

"Jimiiiiiiiiiiiiiiii!" jerkah Teh Junaidah, "Hok tu... enam enam enamlah, Jimi!"

Tap!

Teh Junaidah tepuk dahi dan... Oh, dia lupa, masa tu dia sedang mengepak-ngepakkan kedua-dua belah sayapnya, alahai!

Label:

08 September 2009

Kepada sesetengah orang, kita adalah hero mereka

"Kau pernah jadi hero ke, Jimi?" tanya Teh Junaidah, pada suatu petang ketika dia sedang menjahit-jahit kepaknya yang telah rongoh.

"Pernah!" jawab Jimi Mahmud. Pendek.

"Bila?" tanya Teh Junaidah, jahitannya terkoma seketika dan beliak matanya tertancap ke arah Jimi Mahmud.

"Masa dapat keputusan 4A 1C dalam peperiksaan Penilaian Darjah Lima dulu!" jawab Jimi Mahmud. Selamba.

*Tap!*

Teh Junaidah menepuk dahinya dan... Oh! Dia terlupa yang tangannya masih memegang sebatang jarum.

Label:

28 Ogos 2009

Merdekakakita, kata Jimi Mahmud

Setelah hujan berhenti, Jimi Mahmud dan Teh Junaidah kembali kepada pekerjaan mereka yang macam selalu-selalu, iaitu melangut ke langit. Di langit, kelihatan Nazri M. Annuar sedang sibuk mengejar pelangi.

"Tu, tu..." kata Jimi Mahmud, dia koma setakat itu dulu, diumpil-umpilnya dengan lidah sisa kurma Yusuf Taiyoob sahur tadi yang terlekat di celah gigi, setelah dia mendecit-decitkan mulutnya beberapa kali sisa kurma Yusuf Taiyoob itu pun berjaya dikeluarkan dan diludahkan ke tanah, "Rasa macam pelik pulak..."

"Apa yang peliknya?" tanya Teh Junaidah, "Siapa yang pelik? Budak Ipoh tu ke?"

"Warna pelangi tu... " jawab Jimi Mahmud, "Selalu-selalu tujuh... Hari ni dah tinggal empat 'ja pulak! Biru, kuning, merah, dan putih!”

Teh Junaidah menepuk dahi. Tap!

"Itu benderalah Melaysialah, Jimiiiiiiiiiiiiii!" kata Teh Junaidah.

Di Dataran Merdeka keadaanya sungguh sunyi. Yang tinggal hanyalah imaginari alunan-alunan biola Norman Soo yang sedang melagukan Tchaikovsky - Allegro in F minor.

Teh Junaidah membaling biji kurma Yusuf Taiyoob kepada Nornan Soo, "Bingitlah!" Norman Soo kata, "Auwww!"

"HAH! You tak puasa ke hari ni, Teh?" tanya Jimi Mahmud.

"Tak! I period!" jawab Teh Junaidah.

Di langit, kelihatan Nazri M. Annuar sedang sibuk mengejar pelangi. Sambil berlari dia sempat berkata, "Tahun ni orang sambut Hari Kemerdekaan kat perkarangan Parlimenlah, wehhh!"

Damn!

Label:

16 Julai 2009

Apologi Buat Hideyoshi III

Hideyoshi menyarung pedangnya dan berjalan keluar dari istana dengan perlahan-lahan. Pada tubuhnya terdapat sembilan puluh enam luka tusukkan pedang, tombak, panah, dan sebagainya. Tetapi, Hideyoshi masih belum juga mati.

Hideyoshi ke kali; membersihkan liang-liang luka. Pedih bertala-tala.

Tiba-tiba muncul seekor belut dan berkata-kata, "Kozaru! Apakah sebuah kematian adalah pelarian kepada sebuah kehidupan atau apakah sebuah kehidupan adalah pelarian kepada sebuah kematian?"

"Ahhhhhhh! Banyak cakap!!!!" kata Hideyoshi.

Malam itu, Hideyoshi duduk bersila di hadapan unggun api; menikmati hidangan kabayaki-don yang lazat.

Label:

27 Jun 2009

Shawty bernama Loli-e

Sudah dua tahun, plus minus. Dia cuma, saya ulangi, dia cuma memerhati dari jauh shawty tu turun naik lrt ke tempat kerja. Panjang rambutnya, kurus susuknya, gemalai langkahnya membuatkan hati dia melagu-lagukan lagu Sudirman, Milik Siapakah Gadis Ini?

Pagi itu, awan gemawan bagaikan bersimpati. Hujan turun.

"Payung!?" kata dia, pendek, tetapi bukanlah dia tidak tahu langsung tentang kata nama terbitan, kata ganda berulang, kata sendi nama, imbuhan apitan, dan segala macam tok nenek prinsip yang terkandung dalam tatabahasa leksikal-fungsional yang boleh diguna pakai... cuma, pagi-pagi memang dia tak cakap banyak. "Mood belum mari!" orang Singapore bilang.

"Boleh juga! Thankssss!" kata shawty.

Mereka jalan berpayung. Dan, orang banyak pun menulis puisi. Tentang hujan. Tentang payung. Tentang degup jantung. Tentang denyut hati.

"Am Loli-e!" kata shawty.

"El Ow El Ai?" tanya dia.

"El Ow El Ai with Ee!" jawab shawty.

Pada hari-hari seterusnya, Loli-e menyangkut dagu di bahu dia. Dan, orang banyak pun menulis puisi. Tentang hujan. Tentang payung. Tentang degup jantung. Tentang denyut hati. Tentang mereka, mmm, barangkali mungkin.

Label:

12 Jun 2009

Jambo, my brother!

Aku lompat ke dalam bunker. Akiiki dah kena tembak. Darah hitam buak-buak dari bolong hatinya.

Jambo my brother, Akiiki kata.

Hey jambo jambo, aku kata.

Akiiki minta kertas. Aku kata, tunggu kejap dan seluk ke dalam pouches dan keluarkan sehelai kertas renyuk dan berikan kepada dia. Akiiki minta pen. Aku kata, aku tak punya. Akiiki kata, tak apalah!

Akiiki celup hujung jari ke dalam bolong hatinya dan dengan darah hitam itu dia tulis sesuatu, Malaika, nakupenda Malaika. Nami nifanyeje, kijana mwenzio. Nashindwa na mali sina, we. Ningekuoa Malaika.... [beberapa teks telah terpadam dek manik-manik peluh yang menitik jatuh] Kidege, hukuwaza kidege....

Tiba-tiba, Akiiki mendengus seperti kerbau kena sembelih. Aku rapatkan bibir ke telinganya. Aku suruh dia istighfar. Akiiki beliakkan mata. [Hey, aku panik okayyyy! Makanya, apa saja yang aku reti buat!!!]

Akiiki beritahu, dia nampak cahaya dari langit. Aku genggam tangannya erat-erat.

Jambo my brother, aku kata, salama!

Hey jambo jambo, Akiiki kata, salama!

Aku keluarkan rokok batang yang terakhir dari dalam pouches; nyalakan, hela asapnya dalam-dalam, hembus asapnya deras-deras, dan pacakkan ke bibir tebal Akiiki kemudian. Ada helikopter terbang di atas kepala sedang suluh kami dengan lampu sorot.

Sekarang, putung rokok tu dah jadi macam putung colok.

Label:

30 Mei 2009

Apologi Buat Hideyoshi II

Katakanlah. Pada suatu pagi. Yang dingin. Di Niigata. Ketika Hideyoshi terbangkit daripada tidur... di hatinya tumbuh bunga. Bukan itu sahaja, malah, di matanya tumbuh bunga. Di hidungnya tumbuh bunga. Di mulutnya tumbuh bunga. Di lidahnya tumbuh bunga. Di telinganya tumbuh bunga. Di lehernya tumbuh bunga. Di bahunya tumbuh bunga. Di dadanya tumbuh bunga. Di pusatnya tumbuh bunga. Di penis-nya tumbuh bunga. Di punggungnya tumbuh bunga. Di tangannya tumbuh bunga. Di kakinya tumbuh bunga. Bukan itu sahaja, malah, pada setiap pelipat-pelipat sendinya dan pada setiap liang-liang romanya tumbuh putik-putik bunga. Katakanlah.

Label:

06 Mei 2009

Tanya sama pokok, apa sebab goyang, nanti jawab pokok, angin yang goncang

Seekor dubuk, kita namakan dia Lahiri, telah membaham seekor gazel sehingga mati.

Lahiri kemudiannya telah merobek-robek hati gazel tersebut. Kerana, pada pendapat Lahiri - hatilah anggota badan yang paling licik, nakal, dan jahat sekali. Hatilah punca segala-galanya. Makanya, hati memang telah dijadikan untuk dirobek-robek.

Jimi Mahmud dan Teh Junaidah berjalan menuju ke satu cahaya sorot. Sampai di situ, Jimi Mahmud bercakap dengan jam mahal warna hitamnya, "Beam me up, Scotty!" Teh Junaidah menepuk-nepuk dahi dan mengekek-ngekek ketawa seperti seekor Dubuk kegirangan setelah ia berjaya merobek-robek hati seekor gazel. "Star Trek-lah pulak dahhhh!" kata Teh Junaidah.

Di sebuah dunia imaginari yang lain, Adam Kasturi telah berkata, "Kalau guna lighter - lambat, dude!

FIN

Label:

04 Mei 2009

Selamat Tinggal, Romance!

"Love me love me not love me love me not...", suatu malam, sebelum tidur, si gadis genit yang telah kotai hatinya, Alina, mencabut-cabut bulu pelepah Jimi Mahmud satu per satu, "...love me love me not love me love me not...."

"Sori, Bebeh...", kata Jimi Mahmud, "ini sahaja permainan yang gua miliki untuk lu buat main!"

Kemudian, Jimi Mahmud menyalakan sebatang rokok, menghisapnya dalam-dalam, dan menghembus asapnya pelan-pelan. Di iTunes, Dweezil Zappa sedang memetik-metik temali gitar, dan Lisa Loeb sedang menyanyi-nyanyi lelagu, "Selamat Tinggal, Romance!"

Sekole malt sudah lama sejuk. Teh Junaidah entah pergi mana.

Label:

01 Mei 2009

Malam Air Tumpah dan St Jimi

Hari itu, teh 'o' ais Alina tumpah. Dia kata, "Soriiiiii!"

Hari ini, musim dingin yang terakhir, salji mencair, aprikot mengorak kelopak, beburung berkicau, anak-anak rerubah keluar dari lubang hibernat; menguit-nguit kekumbang yang merdeka. Lalu kekumbang itu berkata, "Demokrasi adalah - semua orang boleh dapat first!"

"Jika berkawan, boleh jadi berkasih...," kata Jimi Mahmud, sambil dia membetul-betulkan sepasang kepak putih yang merebeh di belakang badannya, "...jika berkasih, kemudian putus... payah jika mahu berkawan semula! Mmmm, kalau berkawan semula pun... macam tak berapa nak jadi 'ja!" kata Jimi Mahmud lagi, sambil mengangkat bahu; bibirnya mencemek. Sebatang rokok memang tidak pernah lepas dari bibirnya yang lebam.

"Ha ha... See! Lu macam malaikat, Jimi!" kata Teh Junaidah, sambil mengekek-ngekek. Di belakang badannya juga ada sepasang kepak putih.

Jimi Mahmud ajak Teh Junaidah pergi menakut-nakutkan anak-anak rerubah dengan kisah-kisah cinta tak kesampaian. Teh Junaidah kata, "Jom!" Mereka berjalan kaki dengan kepak yang menggodek-godek di belakang badan.

"Why walk when you can fly?" tanya Sinterklas.

"Ini kepak mainan pemberianmu pada Hari Natal yang baru lalu kerana kami berkelakuan baik sepanjang tahun! Mana mungkin kami bisa terbang, Pak!" jawab Jimi Mahmud.

Hari itu lagi, teh 'o' ais Alina tumpah [untuk kedua kalinya]. Dia kata, "Soriiiiii!" Jimi Mahmud kata, dalam hati, "Apsal tangan lu lembek semacam je hari ni, bebeh? Berdebor lagi ke? He he."

Kerana ingin berhati-hati agar tidak tumpah lagi, atau dia rasa malu, atau dia berasa bersalah, atau dia rasa berdebar, lalu Alina tidak mem-finish-kan teh 'o' aisnya lagi.

Makanya, lu teka, siapa yang mem-finish-kan teh 'o' ais Alina? Cempelai? Kucing? Anak-anak rubah? Kumbang yang merdeka? Sinterklas?

"Mem-finish-kan teh 'o' ais kekasih/bekas kekasih adalah satu lambang percintaan!" kata Jimi Mahmud.

"Cilalak lu, Jimiiiii!", kata Alina, "Choooooooooooi!"

KOMA

Patung Kertas Musim 2 masih berlangsung di Matic sehingga 3 Mei 2009. Lakonan Ku Mohd Yusry @ Adek Sutun (adik Wan), Ashraf Muslim (adik Chu) Dato' Jalaluddin Hassan (abang Long/kak K), Rosnan Abdul Rahman @ Penolong Pengarah Produksi di Istana Budaya (primadona makyong), Adik Faiz (adik Chu semasa kecil), dan lain-lain sangat best. Tapi, mak nyah Vivianna sebagai pengacara Mala Gala Patung Kertas paling mencuit hati dan bikin gua ketawa tak kering gusi, keluar panggong sehingga kena minum 2 gelas air.

"Kalau selepas lima tahun, selepas lu balik dari oversea, dia dah bertukar jadi mak nyah under constructions - gua tatau hah, itu dah di luar bidang kuasa Sindiket Sol-Jah!" bisik gua ke cuping telinga gadis genit yang duduk di sebelah.

Dia ketawa, lagi besar daripada ketawa gua.

Label:

28 April 2009

Jimi ada hati, tetapi hati tu tidak ada dengannya

Jimi Mahmud dan Teh Junaidah melangut ke langit.

"Cinta...," kata Jimi Mahmud, dia koma setakat itu dahulu, dia rapatkan putung rokok ke bibirnya yang lebam, menyedutnya dalam-dalam, dan menghebus asapnya pelan-pelan, "...bila kita cari, ia tak datang... tapi, bila kita dah malas nak mengharap, ia datang dan datang dan datang...," matanya memicing, pedih, terkena asap, "...menderu-deru, sehinggakan kita tak tahu nak bagi hati kita kepada yang mana satu!"

"Aaa... kita sedang tengok apa sebenarnya ni, Jimi?" tanya Teh Junaidah, di tangannya masih ada kole terbikar berisi malt panas yang sudah separuh kosong.

"Hati gua!" jawab Jimi Mahmud.

"Mana?" tanya Teh Junaidah.

"Tu!" jawab Jimi Mahmud. "Masih tersangkut di awan gemawan!"

Teh Junaidah mengekek. Semilir berpuput. Pepohon willow bergemalai. Norman Soo menggesek biola; melagukan allegro.

Jimi Mahmud dan Teh Junaidah masih melangut ke langit. Menantikan sekeping hati yang tak menjatuh.

Alina? Mmm... selepas usai menyiang cinta, dia ke rumah beruang-beruang polar; menyusun atur perabot jiwa lara.

"Takde maknenyeeeeee!" kata Alina. HA HA.

Label:

26 April 2009

Cilakak lu, Jimi!

Hari tu, di tepi tasik Michigan yang membeku, di sebuah cafe imaginari, Jimi Mahmud dan Teh Junaidah sedang duduk mengadap-ngadap sambil mencicip-cicip malt panas. Jauh, nun di hujung sana, ada sepasang beruang polar sedang memancing cinta.

"Orang perempuan ni kan...," kata Jimi Mahmud, dia koma setakat itu dulu, kerana bibir lebamnya memuncung di bibir kole tembikar yang di dalamnya terkandung malt panas, srup srupppp, ahhh, "...kalau dia dah kecewa dalam percintaan...," dia tambah, kemudian koma, kemudian dia tambah lagi, "...kalau dia tak apply pergi sambung belajar ke luar negara... dia pergi jadi lesbirian!"

Hampir sahaja malt panas tersembur keluar dari mulut dan lubang hidung Teh Junaidah, "Lesbirian tu apa barang, Jimi?", dia tanya.

"Alaa... yang macam librarian tuuuu!" Jimi Mahmud jawab dengan selamba. Kemudian dia keluarkan sebatang rokok dari kotaknya, dan hisap. Asap berpuput-puput.

Hari tu juga, di hujung dunia yang lain, Wani Ardy sedang mendeting-deting temali gitar dan menyanyi-menyanyi lelagu la la la.

Jreng!

"Jimiiiii!
Cilakak lu, Jimiiiii!
Kenapa lu pergi
tinggalkan gua sendiri?
Jimiiiiii!
Cilakak lu, Jimiiiii!
Tidakkah lu peduli
cinta gua nan abadi?
Jimiiiiii!

[CODA]
Gua voodoo lu nanti, Jimi!"

Jreng! Jreng!

Alina? Mmm... dia sedang menyiang cinta yang beruang-beruang polar tu telah pancing.

Label:

24 April 2009

Lu ada hati, tapi lu tak ada lighter

Hari tu, dinihari, lu baru pulang dari berburu. Selain selaras senapang, di tangan kanan lu ada sepotong hati cempelai comot.

Hari tu, dinihari, angin dingin berpuput-puput, dan dari celah-celah kabut keluar Alina yang genit (part 'genit' ni Saharil suruh tambah, ha ha) dengan wajah yang bercahaya; mendepa tangan, menyambut lu pulang.

Lalu, lu serah hati cempelai comot tu kepada Alina kerana Alina sudah tidak punya hati lagi; dia mahu bawa tubuh badan tanpa hati dia tu pergi jauh, nun, nun jauh, jauh nun, nunnnn!

Lu kata, "Nah hati!" Sejak dulu lu memang tak makan hati, paru, perut, otak, tulang, hempedal, tongkeng, sotong, kerang, dan sayur-sayuran hijau. Makanya, kalau lu bagi hati cempelai comot tu kat Alina pun - lu no hal!

Alina ambil hati cempelai comot tu, dia bawa masuk ke dapur, dia kata dia nak masak hati tu dengan kicap masin, tapi itu pun tengoklah nanti kalau-kalau kicap masin masih ada lagi di dalam ice box, kalau dah tak ada - dia nak goreng hati cempelai comot tu dengan kunyit dan garam sajalah.

Lu kata, "Bebeh, lu ada lighter?".

Alina kata, "Lu ingat gua ni api ke hape? Gua ni cahayalah, weh!"

Lu raba-raba poket seluar lu, poket baju lu. Ya, lu memang tak ada lighter.

Kemudian, lamaaaa lu fikir-fikir, 'Kalau gua letak rokok dalam microwave tu... boleh menyala tak agaknya?'

Label:

22 April 2009

Jimi Mahmud dan kasut sukan ajaibnya

Kadang-kadang, nak cari kasut sukan punyalah susah - sama susah macam lu nak cari buah hati. Ada yang lu berkenan - tak ada saizlah, hujung depan sempitlah, tapak tak 'mari'lah, jalur tepi macam pelangilah, baru nak kenal-kenal - dah dua bulan kapel dengan jantan lain yang lu tak pernah kenal, dan bermacam-macam kuasaliti yang lain-lain lagi.

Lu frust, lu balik rumah, lu labuhkan punggung kat atas sofa warna merah kesumba yang dah separuh lunyai tu, lu capai rokok dan campak ke bibir lu yang lebam tu. Di luar sana ada bunyi siren ambulan yang lalu lalang; lu perasan yang lu macam tinggal kat Harlem.

Tiba-tiba, Alina yang berseri-seri tu muncul entah dari mana, dan bisik kat cuping telinga lu, "Susah-susah..., lu beli sandal sajalah, bro!". Belum pun sempat lu tanya dia, "Bebeh, lu ada lighter?", Alina *plop!* macam selalu-selalu.

Lu buka TV, lu picing mata, lu nampak Danielle Corleone sedang baca sajak atau sedang baca warta berita, ha ha, lu pun tak berapa pasti sebenarnya.

Jauh di sudut hati, lu berharap pula agar Adam Kasturi tiba-tiba muncul entah dari mana dan kata, "Gua syak dunia ni ada hutang dengan lu lah, dude!" Makanya, lu boleh minta lighter dari dia, sebab lu tahu dalam poket seluar dia memang ada lighter.

Menitik-nitik darah keluar dari mata lu. Kegembiraan sebab dapat lighter. Dan. Kesedihan sebab tak dapat beli kasut sukan.

Label:

14 April 2009

Kata pujangga

Dalam hidup ni, selalunya kita mengambil jalan jauh yang sukar; penuh dengan onak duri. Bukannya tak ada jalan yang simple... ada! Cuma kita ni memang jenis bodoh ya amat!

~ Jimi Mahmud.

Label:

04 April 2009

Harap maaf, lif rosak

Damn!

Kadang-kadang, kau selsema teruk dan lif di apartmen mewah kau pula rosak. Lalu, kau rasa macam nak tulis satu sajak tentang marah-marah.

Kemudian, kau daki anak tangga dengan separuh mati, kau sampai rumah dah, kau lepas lelah di sofa warna merah kesumba yang dah separuh lunyai, kau capai pen mata bola dan reja kertas cepat-cepat, kau pejam mata, dan kau pilih perkataan-perkataan yang kau nak guna untuk sajak yang bakal kau tulis tu..., lamaaaaaa..., sudahnya, kau tulis sajak tentang cinta, rindu, ayah ibu, kekasih, temanku, sekolahku, selamat hari guru, teacher Zuraidah...

Teacher Zuraidah

Kau
seperti ibu-ibu
Penyayang

Dan aku
seperti anak-anak
Nakal.


Dan, pada ketika itu jugalah, Sufian Abas muncul entah dari mana dan kata, "Dude, lu tulis sajak sama macam gua siang ikan!", kemudian dia *plop!* macam selalu-selalu.

Kau keronyok reja kertas yang baru kau tulis tadi, kau ambil reja kertas lain, dan kau tulis sajak yang baharu...

Najibku sayang...

Damn! Apa barang ni, weh!!!?

Label: