"Gua cukup takut bila Sinaganaga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Sinaganaga berfikir. Sinaganaga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya." - Sufian Abas.

27 Jun 2006

PaWaGam (Panggung Wayang Gambar)

Kuala Lumpur 1980-90an

Purple Rain (1984) ‘main’ kat Odeon. Kerana tak punya banyak duit, kami beli tiket kelas dua sajalah. Nanti duduk depan, tiga baris dari layar. Ha ha.

Duit berbaki $2.00. Kami beli air cincau kotak + kuaci cap helang dari nyonya “airkotaktinsejukbolehmasukpanggungwayanggggg!” yang berjualan di hadapan pawagam.

Tahun-tahun kemudian, pawagam di KL tutup, satu persatu…

Pavilion (1935 - 1996). Odeon (1936 - 1997). Coliseum (1939 - masih beroperasi). Capitol (1947 - 2000). Federal (1940an - 2001). Cathay (1950an - 1990an). Sentul (1970an - 1984). Rex (1976 - masih beroperasi). Lido. Majestic.

Madras (Menurut sumber, pawagam yang terletak tidak jauh dari pawagam Rex ini terbakar pada tahun 1970an dan tidak dibina semula selepas itu).

Image Hosted by ImageShack.us

Di layar, Apolonia sedang raba dada Prince, “Uuu, kau berbulu macam King Kong!”

Di baris kerusi yang sama, brother yang duduk disebelah aku sedang bukakan paket gajus panggang untuk makwe dia. Nampak macam susah benar...

Praaaaaaaaaak! Gajus panggang bertabur di atas lantai. Dan. Aku rasa macam nak ketawa.

26 Jun 2006

Sideburn

Hari itu. Aku. Gunting rambut.

“Inche, ini sideburn, apa macam potong?” Tanya ane kedai gunting rambut.

Dulu. Emak suka tengok filem Hindustan. “Emak repeat Bobby tujuh kali ooo!” Kata emak. Dan. Masa tu, kalau emaklah yang bawa aku pergi gunting rambut, emak akan suruh ane gunting sideburn aku macam sideburn Rishi Kapoor. Ha ha.

Dulu. Abah suka tengok filem Cina. “Jom! Kita pergi tengok cerita lawan-lawan pedang!” Ajak abah. Dan. Masa tu, kalau abahlah yang bawa aku pergi gunting rambut, abah akan suruh ane gunting sideburn aku macam sideburn David Chiang.

“Ane! Saya rasa, itu Jet Li, dia punya kung-fu pun tarak berapa baguslah… Itu David Chiang juga nombor satu saya hati punya dalam dekatlah, Ane… Aaa, wat say yu?”

“Ayoyo Inche, ini sideburn, apa macam potong?”

“Ok ok. Kasi straight! Ha ha.”

Image Hosted by ImageShack.us

22 Jun 2006

*Rocksteady, bebeh!

“Lagi sekali kau sentuh gitar tu - aku kapak!!!” Abah.

Album kugiran ini tidak pernah berjaya diterbitkan oleh mana-mana syarikat rakaman. Apapun, ketiga-tiga ikon 'hidup rock tanpa dadah' ini menjadi kegilaan gadis-gadis mongel pada ketika itu. Ha ha.
Image Hosted by ImageShack.us
*'Rocksteady' bukannya 'Rock', dude!

20 Jun 2006

Lepak kutu

Kuala Lumpur 1980-an (separuh masa kedua)

Dulu.

Kutu-kutu. Yang ada duit. Lepak di kelab-kelab. Layan gigs. Minum 7-Up.

Blues Gang main kat K (King?) Blues House, Ampang Park. Search main kat Bier Keller, Taman Tun. Lefthanded main kat Red Rooster, Medan Tuanku.

Apabila Red Rooster tutup, ada kutu menangis tersedu-sedu, di Kompleks Pertama.

“Uwaaa! Tak dapatlah kita nak tengok Man Kidal gigit tali gitar lagi!” Dia kata.

“Ooo… Wa ingat ‘brother’ nangis sebab tak duit nak beli ‘rumput’…” Aku kata.

Aku balik rumah. Lepak tengok tivi. Dalam ada Ramlah Ram. Pakai baju warna oren. Dan. Menang Bintang RTM.

Dulu.

19 Jun 2006

1985: Bangsar Park

Mak tuduh aku penganggur.

Aku kata tidak, freelancer bukan penganggur, walaupun dia duduk rumah – dia ada kerja nak buat, gaji freelancer pada ketika itu $300 seminggu, sebulan dah berapa?, siapa nak kasi duit sebanyak itu?, walaupun dia duduk rumah – dia ada kerja nak buat, freelancer bukan penganggur, aku kata tidak.

Mak suruh aku pergi jumpa Paklang Yassin.

Aku galas beg vinil Dunlop dengan tandatangan John McEnroe. Aku naik bas mini pergi Bangsar. Aku turun di Jalan Maarof; kemudian mendaki Jalan Bangkong dalam hujan lebat. Aku tekan loceng pagar rumah Paklang Yassin. Ding dong ding dong! Diam. Ding dong ding dong! Diam. Ding dong ding dong! Tiada siapa dengar, tiada siapa sambut aku di muka pagar, aku rasa macam pengemis terdesak nak jual sticker bahasa Arab kat keluarga Melayu yang tinggal di kawasan Serani, aku rasa macam nak baling rumah tu dengan molotov cocktail.

Paklang Yassin bagi aku towel. Dan. Horlicks panas. Whore licks? Ha ha.

“Kau nak kerja bank?”, tanya dia, “Paklang boleh masukkan kau. Tapi, kerja kat bank kena pakai kemeja, kena pakai slacks….” Aku diam tak kata apa, aku tuang Horlicks kat piring, aku rasa macam nak jilat-jilat Horlicks kat piring tu macam kucing, tapi aku rasa menyusahkan saja, jadi aku tiup-tiup Horlicks tu hingga sejuk sebelum dicicip.

Malam tu aku gosok jeans lembab sebab kena hujan siang tadi, aku beritahu orang gaji aku nak blah, orang gaji tanya kenapa, aku kata “Mana ada kutu pakai slacks, Mak Mok!!! Tak nak aku kerja bank....”

15 Jun 2006

1982: Mak aku sakit. HM bagi cuti.

Aku dah lambat!

Aku melompat ke dalam bas yang belumpun benar-benar berhenti, melangkah selang dua anak tangga sekali gus, driver tu kata “Hoi! Tak sekolah ke?”, aku buat tak peduli dan cepat-cepat duduk di kerusi vinil merah yang masih kosong.

Duduk di sebelah, budak perempuan Sek. Men. Puteri Wilayah, rambut pendek macam Lady D, pakai baju kurung, nama dia Romlah, aku tahu sebab name tag kat dada dia ada tulis nama yang cantik itu.

Driver bas masuk gear satu, tingkap bas memang sedia terbuka, angin menderas masuk, baju kurung dia tak berkancing, dan kejap kejap aku cuba jeling dia kejap kejap aku cuba jeling dia kejap kejap aku cuba jeling dia, sehinggalah pada saat dia berpaling kepada aku...

Dia senyum tak bersungguh, aku kaget, dia membetul-betulkan jurai rambutnya yang terpuntang-panting ditiup angin, aku kaget, dia angkat keningnya yang runcing, sedikit, aku kaget, bibir warna natural dia terkuak sedikit macam nak cakap sesuatu, aku kaget...

“A'ah. BeeDees!” Kata Romlah.

Dan. Pada masa itu baru aku sedar... “Yang aku naik bas pergi Kampung Baru ni nak buat hape? Rumah aku kat Segambut...”

Tap!

13 Jun 2006

Melaka Street

Kuala Lumpur 1970-an (separuh masa kedua)

Dulu. Orang tak panggil – Jalan Melaka, pun. Orang panggil – *Melaka Street!

Kini. Melaka Street yang berselari dengan Sungai Kelang ini adalah sebahagian daripada Jalan Ampang.

Dulu. Bas mini adalah jenis yang ketot-metot. Berwarna kuning air dengan belang putih. Besar sedikit dari van. Kecil banyak dari bas mini warna mejah jambu. Dua lubang udara yang boleh dibuka katup buka katup terdapat di bumbung yang tersangat rendah itu. Dan. Kalau penumpang penuh dan tiada lagi baki tempat duduk – kau kena berdiri dan leher terpaksa membengkok terus-menerus. Lamaaaaa! Ha ha.

[Bas mini Sri Jaya. Berwarna biru dengan belang kelabu. Besar sedikit daripada bas mini jenis yang ketot-metot itu.]

Dulu. Stesen bas panjang. Betul-betul bertentangan dengan bangunan AIA. Dan. Terletak berhampiran dengan jejantas ke Convent Bukit Nenas (CBN).

Apabila pulang dari sekolah petang. Ada seorang kakak Rima College. Cantik macam pan-asian. Selalu tunggu aku. Di atas jejantas itu.

“You wanna gum, sol-jah?” Kata dia. Sambil hulur gula-gula getah. Wrigley's. Yang telah dikerat dua.

Aku ambil. Dan. Masukkan ke mulut. Dan. Kunyah. Lepas tu, dia elus-elus sideburn aku yang macam Rajesh Khanna itu. Ha ha.

*Melaka Street - Sepanjang jalan dari persimpangan Jalan Campbell (kini Jalan Dang Wangi) sehingga ke Jalan Gereja.

09 Jun 2006

Kompleks pertama

Kuala Lumpur 1970-an (separuh masa kedua)

Dulu.

Kami. Anak-beranak. Tinggal menyewa di Bukit Belacan, Lembah Jaya, Ampang.

Belacan? Oh maaf, tiada perusahaan membuat belacan Melaka atau belacan Penang di sini! Yang ada, cuma… Suasana pagi yang dingin. Udara yang nyaman. Dan. Sungai yang suci lagi menyucikan. Ya ya. Anak kakak aku, Siti Hatikah, yang lasak macam jantan itu, suka berak di sungai ini. Ha ha.

Dan. Kalau kau teka. Kompleks Pertama (1976) adalah kompleks beli-belah yang pertama di Kuala Lumpur – kau salah, beb!

Ampang Park (1973) adalah yang pertama.

Dan. *Restoran makanan segera suka-ramai, McD, yang pertama (1979?), kalau tidak silap aku, di seberang jalan, betul-betul berhadapan dengan Ampang Park.

Dulu.

*Kini, tapak stesen LRT “Ampang, Park! Ampang, Park!” Kata Yasmin Yusuf.

08 Jun 2006

Kutu

Kuala Lumpur 1980-an (separuh masa pertama)

Brother ‘kutu’ ke?”

Aku tanya brother yang macam Aladin jual kebab itu.

“Tak! ‘Kutu’ lepak kat Kompleks Pertama!”

“Ooo…”

“Kenapa tanya? Kau nak jadi ‘kutu’ ke?”

“Nak juga… Tapi, bukan sekarang… Lepas tamat sekolah nantilah!”

“Ooo…”

Lepas tamat sekolah. Aku berambut panjang. Bukan panjang ke bawah. Tapi panjang ke atas. Afro! Ya ya, afro look. Macam Thana Metalian. Ha ha.

Dan aku pergi ke Kompleks Pertama juga. Bukan untuk melepak… Tetapi untuk alter seluar jeans. “Cawat kasi pendek! Pinggang kasi turun! Kaki kasi senteng!”

“Jadi… Kau lepak kat mana?”

“Kat *Perpustakaan Negara!”

“Ha ha ha! Mana ada ‘kutu’ lepak kat khutubkhanah, beb!!!!!!!”

Hah? Tak ada ke?? Hah hah???

*Perpustakaan Negara Malaysia pada ketika itu terletak di Wisma Sachdev/Thakurdas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Berhadapan dengan bangunan C & C sekarang.

07 Jun 2006

Kebab

Kuala Lumpur 1980-an (separuh masa pertama)

Dulu.

Kalau berlenggang-kangkung di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Berhadapan dengan panggung Coliseum. Dua puluh langkah dari Emporium Selangor (kini kedai menjual perhiasan lampu). Betul-betul di penjuru sebelah kanan Kamdar. Kau akan ketemu gerai ‘brother’ berserban sederhana besar, berkurta polos warna putih, ber‘vest’ singkat warna gelap, berseluar kembang macam Aladin, berselipar macam Aladin juga, bercelak di bawah kelopak mata, berjanggut tanpa kumis… Yang menjual daging panggang dihiris nipis-nipis dan diletak di celah belahan roti.

“Brother! Bagi *kebuk satu!”

“Hey, apa daa kebuk… Kebab daa!”

“Ooo…”

Ini gerai menjual kebab yang pertama di Kuala Lumpur. Kalau tak silap aku.

Dulu.

*kebuk: 2. sj kepuk yg mengandungi piston atau omboh (pd enjin kereta).

06 Jun 2006

Pratonton

Image Hosted by ImageShack.us
NOTA DARI DESIGNER:
Reka bentuk buku ini adalah muktamat! Sebarang cadangan penambahbaikan tidak akan dilayan. Ha ha.
Peace!!!

02 Jun 2006

Sama tapi tak serupa

Malam itu. Di suatu musim bunga. Dinginnya tak seberapa. Cengkerik di Toyama asyik berlagu asmara.

Kami anak-beranak di ruang tamu. Miyuki berkemeja polos lengan panjang dan berskirt motif bunga kecil-kecil. Berstoking warna kulit seperti selalu-selalu. Gincu warna 'momo' di bibirnya telah lama hakis. Nasi berkanji, ikan 'ayu' panggang, terung bakar, jeruk buah teratai, sup 'miso', telur rebus yang diukir sepeti kelopak bunga, dan teh Jepun telah siap terhidang di atas 'kotatsu'.

"Ha ha ha ha ha!" Mereka ketawakan aku. Macamlah mereka baru saja tahu yang kehidupan ini bukanlah selebar daun pudina.

"Kenapa?" Aku.

"Di sini, kami cicah telur rebus dengan garam, bukan dengan 'soyu'!" Mak Miyuki.

Aku capai telur rebus yang kedua. Lalu mencicah dengan garam. Dan... Ngap! Ya ya, sama rasa tapi tak serupa cara.

"Uuuuuh! Siapa kentut bau telur niii?" Miyuki.

*Senyum* Perlukah aku angkat tangan tinggi-tinggi?

01 Jun 2006

Diari Seorang Lelaki

"...Belikan aku diari, kutulis setiap hari..."
~ PrettyUgly

Ha ha.