Menjelang PRU13: Batu
Duum! Kak Pinoi menolak daun pintu dewan orang ramai itu dengan kedua-dua belah tangannya yang separa sasa. Tidak semena-mena rambutnya yang ikal separas bahu itu terkuak-kuak ke belakang, seolah-olah ada satu kipas besar telah ditalakan ke mukanya. Sambil berjalan mencekak pinggang, Kak Pinoi persis peragawati yang sedang memperagakan pakaian mandi berjenama terkenal. Bola mata orang banyak bagaikan followspot. Sebuku bawang terlepas daripada tangan Wak Merah-merah Taman Kok Doh. Mamang Sulan mengekek-ngekek sambil menepuk peha Wak Merah-merah Taman Kok Doh; diangkat-angkat keningnya dua tiga kali. Macam Morse code; hanya orang tua berdua itu sahaja yang faham.
“Tapi, benda tu saya punya! Macamana pula Mat Nangka boleh kata yang benda tu dia punya?” dakwa Kak Pinoi.
“Tapi, saya tengok, benda tu terbiar. Saya ambillah!” jelas Mat Nangka.
“Tapi, benda tu harta nenek moyang saya turun-temurun!” dakwa Kak Pinoi.
“Tapi, saya tengok, benda tu dah lama terbiar. Saya ambillah buat landskap!” jelas Mat Nangka.
“So, macamana ni, Sop?” tanya Kak Pinoi.
“Hah! Macamana ni, Sop? Benda tu aku dah simen 'mati' dah!” beritahu Mat Nangka.
Usop Ludin Tanah Lot berfikir-fikir. Sebelah tangannya sedang mengelus-ngelus dagu. Dan, sebelah lagi tangannya yang sedang memegang senduk pengacau air sirap disendalkan ke pinggangnya yang macam plywood patah itu. Iyalah, sebagai ketua kampung (yang baharu dilantik bagi menggantikan Pak Akop), dia perlu menangani tuntutan bertindih dari kedua-dua belah pihak ini dengan adil dan saksama.
“Lu bawa kes ni ke ICJ je la, Kop!!!! Habis cer!!!!!” jerit satu suara, entah siapa. (Aku syak, Pipiyapong).
“Ok! Begini... saya nak tanya sikit ni... berapa jauh jarak rumah Kak Pinoi dari batu giling tu dan berapa jauh jarak rumah Mat Nangka dari batu giling tu?” tanya Usop Ludin Tanah Lot.
“Hello everybodyyyyy! Paceri dah siap masak ye!” laung Pak Akop dari kejauhan sana.
Label: PRU13