Hantu Ulu Pegoh (Alor Gajah)
Dulu. Kalau musim cuti sekolah, seronok tinggal dengan gemulah Pak Long Sarip dan Mak Long Lijah. Sebab gemulah Mak Long Lijah gemar bercerita kisah-kisah hantu. Hantu galah. Hantu Tok Said. Hantu Tangan Hitam. Dan macam-macam cerita hantu lagi. Itu, dulu.
"Ghumah kito ni 'laluan'!" Kata gemulah Mak Long Lijah. Yang merujuk rumah kami sebagai kawasan lalu-lalang hantu. Atau, kalau hantu lalu, ia mesti singgah punyalah... Kot, ntah!!!!
Dan jika aku disuruh untuk mengantar kuih ketayap, kuih baulu, hatta kuih jemput-jemput tepung + ikan bilis sekalipun ke rumah Busu Sirom di baruh, aku perlu meniti jambatan REDA* atau melalui tanah perkuburan untuk ke sana.
Dari rumah gemulah Mak Long, kalau malam bulan penuh, cahayanya akan menyimbah pada batu-batu nisan; akan mewujudkan suatu suasana dan perasaan 'yang lain' sahajalah...
Dan kalau aku melukis (watercolor), kalau tidak melukis pemandangan kampunglah, aku akan melukis kubur! Kalau Induk Kesom (Kalsom) nampak, dia akan 'potet' kepala aku...
"Takdo bondo lain ko nak lukih? EEeeee... soghammmm!"
Dan apabila suatu hari, Duan (Riduan, anak Busu Sirom) tebang pokok petai depan rumah gemulah Mak Long Lijah; diambilnya kesemua petai untuk dijual di Alor Gajah...
...gemulah Pak Long Sarip kata, "HANTU boto budak Duan ni lah!"
*Jambatan REDA merupakan jambatan yang diperbuat daripada kayu. Bersaiz satu setengah kaki lebar dan dua kaki tinggi dari aras tanah sawah. Merintangi dari 'darat' ke 'baruh' untuk memudahkan orang kampung Ulu Pegoh berhubung. Kerana dibina dengan menggunakan kayu rendah mutu - ia mudah reput dan lantainya selalu berkeadaan rongak! Sangat merbahaya kepada kanak-kanak dan pengguna pada malam hari.