Pak Akop merenung tanah. Pak Akop merenung tanah lama-lama. Semakin lama direnungnya tanah, semakin hatinya berbelah bagi.
“Apa lagi, Kop… lompatlah!” kata Mamang Sulan. Mamang Sulan, kalau dia tak lompat pun tak apa, sebab dia PATI.
Pak Akop mengeleng kepala. Pak Akop mengeleng kepala lama-lama. Semakin lama digelengnya kepala, semakin fikirannya rasa macam nak percaya dengan tidak.
“Apa lagi, Kop… lompatlah! If you jump, I’ll jump!” kata Karim Driving School. Serentak dengan itu Karim Driving School, Mamang Sulan, Sepiah Mata Smokey mengekek-ngekek ketawa.
“Melompat-melompat ni perbuatan yang hina, Kop!” kata Usop Ludin Tanah Lot. Usop Ludin Tanah Lot, kalau dia tak lompat pun tak apa, sebab dia dah dapat jawatan tinggi. Tak ada apa yang dia nak rasa tak puas hati lagi.
Pak Akop merenung tanah, lagi. Pak Akop merenung tanah lama-lama, lagi. Tapi, pada kali ini, keputusannya muktamat. Sambil menggaru-garu bontotnya yang tak gatal, dia berkata, “Piah! Pak Akop kasi Piah lompat dululah!”
Tanpa membuang masa, Sepiah Mata Smokey menyinsing kain. Bebola mata Pak Akop, bebola mata Karim Driving School, bebola mata Mamang Sulan, bebola mata Usop Ludin Tanah Lot berpiknik. Ada bebola ikan bergolek-golek entah dari mana datangnya dan entah siapa punya. Mat Trompet menahannya dengan tapak kasut Fong Keong. Lalu Mat Trompet menyepaknya ke arah Mat Jais. Satu hantaran yang cantik, kata Hasbullah Awang, kalau dia berada di situ.
Sepiah Mata Smokey mengundur beberapa langkah. Kemudian pegun. Kemudian menarik nafas dalam-dalam. Menahan nafasnya sebentar. Lalu mula berlari. Zuuuup! Bagai helang menyonsong angin, dia melompat ke petak nombor lima. Duuuup!
Baru sahaja Sepiah Mata Smokey hendak membongkong dan mengambil gundunya…
“Bentilah main teng-teng tu, Piah!” kata Kak Pinoi. “Tolong Kak Pinoi buat cupcake lagi pekdahhh!!!”
Mat Jais cuma menghidu-hidu bebola ikan itu; tidak mahu dimakannya. Sebab Mat Jais cuma makan Friskies.
Label: PRU13