"Gua cukup takut bila Sinaganaga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Sinaganaga berfikir. Sinaganaga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya." - Sufian Abas.

17 Ogos 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 8

Kejap-kejap Nuar ludah ke pasir, kejap-kejap Nuar ludah ke pasir, kejap-kejap Nuar ludah ke pasir...

Kenapo, aku tanya. Takut batal poso, Nuar jawab. Tapi, Nuar kata lagi, tadi pagi, ghaso mocam dah tetolan ludah, sikit. HAH, aku kata, DAH BATAL LA POSO TU!!!

Muka Nuar yang tadinya bak awan berarak mendung kini berubah menjadi fajar di bumi permata. Kemudian, aku pun telan ludah, serupa macam Nuar juga. Tap! Aku petik jari. Dan, Nuar jempol ibu jari kanannya yang halimunan. [Dia selalu lupa yang ibu jari kanannya telah kudung dek terkena sabit]

Cepat-cepat kami berlari masuk ke dalam kebun yang terletak di atas bukit di belakang Balai Polis Pasir Besar itu. Sepuluh minit kemudian - aku sedang jerang air di dalam pot susu dan Nuar sedang tuai tanaman-tanaman kontan: daun kunyit dan daun limau purut dan cili api dan bawang kecil dan halia dan lengkuas dan serai dan kacang tanah.

Lauk apo kito tongah hari ni Nuar, aku tanya.

Ghaso-ghaso mocam nak buek ghondang kacang ghobuih la, Nuar jawab.

Pergh! Marvelous rasa-rasanya ni!

Label:

10 Mei 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 8

Dulu-dulu, kata Pak Long Syarif, budak-budak cukup takut dengan - satu, momok; dua, India potong kepala; tiga, polis!

"Eeeeeeiiiii, tu momok tuuuu!" kata Mak Wok semasa takut-takutkan anaknya Rapeah yang degil tak mahu pakai seluar dalam.

"Amek la kek Koling potong kepalo!" kata Makcik Melah semasa anaknya Kak Rose degil main panas di luar rumah.

"Hah! Nak Den kobakan kek Tok Sarip ko ni?" kata Mak Long Lijah apabila aku tak mahu makan nasi lauk taugeh yang dia dah penat-penat masak, "Duduk ontok-ontok!". Aku nak sambal tumis petai. Yang dia pergi masak taugeh siapa suruh! Ha ha.

Ya, semua budak-budak di Kampung Pasir Besar memang cukup takut dengan Pak Long Syarif. Sekali Pak Long Syarif berdehem - berterabur budak-budak Kampung Pasir Besar lari menyorok di sebalik pintu. Sekali Pak Long Syarif jegil mata - yang terkecing di dalam seluar jangan cakaplah... entah dah berapa punya ramai.

KOMA

"Tapi budak-budak sekarang dah tak takutkan polis dah!" kata Abang Hassan, anak Pak Long Syarif, sepupu aku, "Salah polis jugalah! Suruh orang awam jangan takutkan polis. Suruh orang awam berkawan-kawan dengan polis. Rakan Coplah, apalah, bla bla bla! Last-last, orang awam naik muka, pijak kepala, bla bla bla!"

Jalan tengah sesak. Kereta budak Cina tu potong que. Polis 'trapit' tu marah dia. Dia tak puas hati. Dia berhentikan kereta betul-betul di hadapan lampu isyarat dan menghalang laluan kereta lain nak lalu. Dia turun dari kereta. Dia marah polis 'trapit' tu.

"Cheng chong cheng cheng... Lu mau tembak - tembaklah! Cheng chong cheng cheng..." kata budak Cina tu.

Abang Hassan geleng kepala. Abang Hassan kata, budak Cina tu telah melakukan setengah dozen kesalahan. Antaranya - potong que, potong que di hadapan polis, berhenti di petak kuning, meletakkan kenderaan sehingga menghalang lalu lintas, mengeluarkan kata-kata kesat, dan memprovokasi polis.

"Inilah momok yang Mak Wok cakapkan tu agaknya!" tambah Abang Hassan lagi.

Aku mengekek-ngekek ketawa sambil menompang tangan pada tiang lampu isyarat, "Budak-budak sekarang dah tak takutkan polis dah, bang!"

Label:

03 Mei 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 7

Dulu-dulu, mana ada rasuah. Kalau Pak Long Syarif pergi ke pasar - Tauke Wong bagi sayur bayam percuma, Aya Batumalai bagi rempah kari percuma, Makcik Wok bagi ikan selar percuma. Pak Long Syarif ambil. Pak Long Syarif kata - ini bukan rasuah, ini tanda terima kasih orang banyak kepada polis kerana menjaga ketenteraman negara. [Dulu-dulu, dua orang anggota polis kena jaga satu Pasir Besar, pergh!] Kadang-kadang, apabila lalu di hadapan gerai Tauke Wong, Pak Long Syarif pura-pura jatuhkan duit kertas lima ringgit. "Wong! Ni - lu punya duit cicir!" Kira punya kira - rugi juga - sawi lima batang baru tiga puluh sen pada zaman tu. HA HA.

Dulu-dulu, Pak Long Syarif ada sepucuk pistol Hak Milik Kerajaan dan selaras senapang patah hak milik sendiri. Tetapi, Pak Long Syarif tak pernah tembak orang pun. Habis banyak - pistol Hak Milik Kerajaan tu Pak Long Syarif 'buat perhiasan di pinggang' sahajalah. Habis banyak - senapang patah tu Pak Long Syarif buat memburu napuh, kijang, rusa dan ayam hutan sahajalah. Cukup tahun, genap haul, Pak Long Syarif pergi memperbaharui lesen senapang patahnya di Balai Polis Seremban.

Dulu-dulu, mana ada budak berani keluar malam. "Dah maghrib ni! Masukkkkkkkkkk!" suruh Pak Long Syarif, "Nyamukkkk!" Dulu-dulu, jam lima petang dah mula bakar ubat nyamuk. Dulu-dulu, nyamuk memang suka hisap darah budak-budak. Kalau terlewat sahaja masuk ke dalam rumah - pung pang pung pang nyamuk tala kita punya bontot.

"HAH!!! KAN DAH BINTATTTTTTTTTTTT!!!” pekik Pak Long Syarif sambil menyapu minyak Geliga pada bontot aku.

"Kek Kuantan takdo doh nyamuk bosa-bosa kobau mocam ni, Pak Long!" beritahu aku.

"Tu Kuantan!" jawab Pak Long Syarif, "Ni Pasir Bosarrr! Nyamuk pun kono la bosarrr!"

Label:

30 April 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 6

Dulu-dulu, bukan ada Kentaki.

Dulu-dulu, kalau nak makan ayam goreng - kena buat sendiri. Kena tangkap dulu. Kena sembelih dulu. Kena tunggu betul-betul mati dulu. Kena celur dengan air panas dulu. Kena buang bulu dulu. Kena buang perut dulu. Kena potong enam belas dulu. Kena hidupkan api dapur dulu. Kena tenggekkan kuali dulu. Kena tuang minyak dulu. Kena tunggu minyak panas dulu. Apabila minyak dah panas - baru boleh masukan daging ayam dan digoreng sehingga garing!

Nuar menyangga serkap dengan batang ubi berbentuk Y. Pada batang ubi itu Nuar ikat dengan tali rafia panjangggggggg. Pada hujung tali rafia yang satu lagi itu kami bawa masuk menyorok ke dalam kebun ubi. Lalu, kami menunggu dengan penuh kusyuk dan tawaduk.

"Makan ayam rebus kita hari ni!" kata Nuar sambil menggeropes tahi hidung kering di dalam lubang hidungnya. Nuar jempul ibu jari kanannya yang halimunan [Dia selalu lupa yang ibu jari kanannya telah kudung terkena sabit]. Aku jempul ubi jari kanan - tanda ‘yes!!!'.

Satu jam kemudian, aku terbangun dari lelap dan melihat Nuar sedang merebus kacang tanah di dalam tin Dumex kosong. Wah, wah, wah! Ayam goreng berhiaskan kacang rebus ni!

“Eh! Tapi... mana ayamnya?” tanya aku.

“Aku lupa nak tabur padi tadi!" jawab Nuar, “Makan kacang rebus sahajalah kita hari ni.”

...

Dulu-dulu, bukan ada Kentaki. Kalau dulu-dulu dah ada Kentaki - kan ke senang!

Label:

26 Mac 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 5

Dulu dulu mana ada Facebook (yang membolehkan orang kemaskini status mereka selang 10 minit sekali).

Dulu dulu mana ada Transformer, Gaban, Power Rangers, dan Blocker Corps Machine Blaster... kalau ada pun - aaa, Giant Robot! Ini pun kena beli di kedai permainan di tepi taxi stand Kuantan.

"Permainan tu Nuar buek sendiri," kata mak Nuar, "Ni permainan budak-budak kampung, yoh... budak-budak banda tak main permainan daripado batang pisang, dohhh!" (Cuba perhatikan - kendatipun emak Nuar bercakap dalam loghat Negeri Sembilan tetapi tatabahasanya betul. Ha ha.)

Aku amati setiap rinci kereta lumba daripada batang pisang yang Nuar buat. Kemas sungguh hasil kerjatangannya. Kemudian, aku pandang Nuar. Nuar angkat-angkat kening. Aku pun angkat-angkat kening. Nuar jempul ibu jari kanannya yang halimunan (ibu jari kanan Nuar kudung terkena sabit). Kami mengekek-ngekek macam pontianak tercabut paku di tengkuk.

"Jom!" kata aku, "Kita buat Giant Robot!"

KOMA

Petang itu, aku dan Nuar kena sesah dengan rotan sebab..., "Ompek batang pokok pisang den tumbang, Tok Sarip! Budak-budak duo ekor ni kobakan... nak buek Jayan Robot apo kobondo ontah!" lapor ayah Nuar kepada Pak Long Sharif.

"Golo de eh!"

Label:

19 Mac 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 4

"Pak Long nak pergi mana?" tanya aku.

"Nak poi Londah!" jawab Pak Long Sharif aka Sheriff Madon.

"London? Nak ikutttttttt!" kata aku.

"Jom!" kata Pak Long Sharif aka Sheriff Madon.

Aku dan Nuar cepat-cepat masuk ke dalam Mazda 1000 Pak Long Sharif. Ya, dulu-dulu, anggota di Balai Polis Pasir Besar tak dibekalkan dengan kereta peronda, hatta tak dibekal dengan motosikal peronda pun. Semua kena guna kenderaan sendiri. Pak Long Sharif selalu cakap, "Kalaulah dapat Alfetta sebuah pun menarik juga ni!" Ya, dulu-dulu, kereta peronda adalah dari jenis Alfetta. Makanya, orang awam yang memandu Alfetta adalah orang awam yang hip. Sebab, orang lain akan kata, "Fuyo! Mat Rani drive kereta polis tu, John!"

Londah terletak kira-kira 5KM dari Gemas. Dan Pasir Besar terletak kira-kira 5KM dari Londah. Maksudnya, kalau nak pergi ke Pasir Besar - anda akan melalui Londah terlebih dahulu.

Dulu, Londah tidaklah se-hip Pasir Besar. Dalam erti kata sebenar sebuah kampung - Londah bukanlah sebuah kampung pun - kerana, di sini, nak jumpa sebuah rumah pun payah - hutan memanjanggggg. Kalau ada pun di Londah - sebuah jambatan konkrit yang merentangi Sungai Muar (ulu Sungai Muar terletak di Kuala Pilah dan seterusnya merentasi Juasseh, Bahau, Rompin, Gemas, Segamat... Muar).

"Ok, kita dah sampai!" kata Pak Long Sharif aka Sheriff Madon, "Meh tolong Pak Long! Meh turun kek tobing sungai... pilih batu sungai yang cantik-cantik... angkek naik, bubuh dalam keto! Pak Long nak hias balang ikan."

Ya, selain daripada bermain sepak getah lanton dan spelling - angkat berat juga adalah kegiatan pada musim cuti sekolah di Pasir Besar. Haiyah!

Man Komando balik *Kampung Londah.
*Perhatikan gambar rumah di blog ini. Adalah menjadi kelaziman keluarga peneroka FELDA untuk mengekalkan rumah induk seperti keadaan asal sebagai kenang-kenangan mencuit rasa. Selalunya, anak-anak yang sudah bekerja akan membina rumah batu yang lebih selesa di bahagian belakang rumah induk sebagai membalas jasa kedua ibu bapa yang membesarkan mereka.

Label:

18 Mac 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 3

Balai Polis Pasir Besar tu terletak di atas sebuah bukit. Di kiri dan kanannya menempatkan dua buah rumah kelamin untuk dua orang anggotanya. Di hadapannya terdapat beberapa buah baldi besi berwarna merah yang berisi pasir dan bertulis perkataan API. Ya, di zaman itu, mana-mana balai polis yang dibekalkan dengan fire extinguisher adalah balai polis yang hip. Makanya, Balai Polis Pasir Besar tak hip!

Balai Polis Pasir Besar itu mempunyai dua ruang beroprerasi. Ruang yang pertama, menempatkan meja untuk menerima dan merekodkan pelbagai jenis laporan yang dibuat oleh orang kampung (seperti kematian, kelahiran, kecurian, kambing hilang, ibu jari Nuar kudung kena sabit, dan lain-lain). Di belakang meja ini terdapat sebuah ham radio yang Pak Long Syarif selalu guna untuk, "Aaaa, bola rakit, bola rakit..." dengan balai polis di sekitar Negeri Sembilan.

Ruang yang kedua, adalah sebuah bilik yang digunakan sebagai bilik soal siasat, bilik tahanan sementara, bilik merotan budak-budak nakal, dan bilik orang bersunat. Di dalam bilik ini juga terdapat sebuah almari yang menempatkan alat tulis untuk kegunaan Balai Polis Pasir Besar. Antaranya adalah kertas taip dan kertas karbon.

Dulu-dulu, bukannya ada kelas tusyen. Jadi, Pak Long Sharif selalu kepilkan kertas taip ke mesin taip dan kami buat latihan 'spelling'. Pak Long Sharif say. Aku spell. Pak Long Sharif say. Aku spell. ... (repeat till fade). Kalau betul semua - Pak Long Sharif akan belanja aku roti canai double kat Gemas.

"Ejaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa... Sharif Madon!" kata Pak Long Syarif.

Tek! Tek! Tek! Aku taip.

S H E R I F F M A D O N

Aiseyman! Satu sudah salah eja. HA HA.

Label:

17 Mac 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 2

Dulu, kalau cuti sekolah, bukan ada Kem Motivasi Cuti Sekolah, Kem Motivasi Pengawas Sekolah, Kem Motivasi Kepimpinan Sekolah, Kem Bestari Solat, Kem 1Malaysia Murid Sekolah Rendah, bukan ada Facebook, et cetera et cetera.

Dulu, kalau cuti sekolah, balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar, "Api dalam kaco, potik topi tongah menyalo."

"Apa kegiatan cuti sekolah kita pada hari ni?" aku tanya Nuar.

"Jom main *lanton!" Nuar jawab aku.

Dulu, kalau cuti sekolah, main sepak bola yang diperbuat daripada lanton sajalah adanya, ha ha.

Dulu, kalau cuti sekolah, bukan ada Kem Motivasi Cuti Sekolah, Kem Motivasi Pengawas Sekolah, Kem Motivasi Kepimpinan Sekolah, Kem Bestari Solat, Kem 1Malaysia Murid Sekolah Rendah, bukan ada Facebook, et cetera et cetera.

Gemas 1990 oleh seorang Inspektor Polis.

Lantun.



*Lanton = getah sekerap.

Label:

16 Mac 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 1

Dulu, abah Nuar tersabit ibu jari kanan Nuar sampai kudung. Tetapi, walaupun diri serba kekurangan, Nuar tak pernah kenal erti 'mengaku kalah'.

"Gemas best, wooo! Gemas ada banyak landasan keretapi!" beritahu Nuar kepada aku, "Kuantan apa 'je yang adeeeeeee?"

"Kuantan lagi best, wooo! Kuantan ada air pancut bentuk kerang!" beritahu aku kepada Nuar, "Gemas ada keeeeeeeee? Hah, tak adeeeeeeeee!"

Hari itu, buat pertama kalinya Nuar terdiam. Hari itu, buat pertama kalinya Nuar terkalah. Sebab, Gemas tak ada air pancut bentuk kerang - Kuantan ada!

Tetapi, Nuar tak pernah tahu, selain daripada air pancut bentuk kerang - "Kuantan apa 'je yang adeeeeeeee!!!" HA HA.

Gambar air pancut bentuk kerang oleh Dr Ali.

Gambar air pancut bentuk kerang oleh Dr Ali.

Label: