Filem-filem pendek pilihan kurator
1. Ikan Langka 'Rare Fish' [11 minit] arahan Basil Mironer
Ikan Langka mengisahkan tentang 'perjuangan diri' dalam menghadapi rasa 'putuslah harapan' atau 'besarlah harapan'. Adakalanya apabila kita berasa putus harapan, sesuatu terjadi, dan ada harapan baharu kemudiannya muncul untuk meraikan perjuangan itu sendiri [Begitu jugalah sebaliknya]. Seperti sebuah mandala, 'besarlah harapan' dan 'putuslah harapan' akan sentiasa bersilih ganti dalam sesebuah kehidupan, lalu mengimbanginya.
Berhorizon Pulau Bintan, Indonesia (bersebelahan dengan Pulau Batam), Ikan Langka mempertaruhkan Alexa Caravia di kerusi DOP-nya. Pakcik Rivud (Ribut), dengan suaranya yang penuh magis, akan mengalun sebuah lagu di akhir filem ini. Oh ya, saya hampir lupa, ikan langka interframe sekali sahaja dalam dalam filem ini.
Anugerah:
Palm Springs International ShortFest 2009, Best Student Cinematography: Alexa Caravia
Pusan International Film Festival 2009, Sonje Award for the the Director: Basil Mironer
Label: MESTI TONTON
2. The Forest Spirits [10 minit] arahan Ting Szu Kiong
The Forest Spirits adalah sebuah filem pendek yang berdasarkan sebuah epik (saya rasa). Saya sukakan visual filem ini. Bak kata Mat Jan di sebelah saya yang sedang sibuk makan kek masakan isterinya sendiri (oh ya, kek itu untuk kami makan sebenarnya, bukan untuk MatJan makan, sebab MatJan dah makan dah kek tu kat rumah sebelum dia datang), "Uiiih! Macam filem Crouching Tiger, Hidden Dragon!"
Melakukan pengambaran di kawasan hutan simpan Bukit Timah, Singapura - Ting Szu Kiong, mamat kelahiran Sabah (dan kini bertapak di Singapura) ini memberitahu, "The screening of The Forest Spirit at Maskara Shorties is the world premiere of the film."
Label: MESTI TONTON
3. Berkongsi di tempat ke-3: Petra Bond [8:30 minit] arahan Chin Yew & Srog [8:45 minit] arahan Indra Syaabani.
Kedua-dua filem ini adalah filem komedi tak kering gusi. Kedua-dua pengarah dirasakan amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon yang berjaya memperankan watak masing-masing dengan begitu selamba. Sepatah kata Ah Boi, budak Cina jual handphone di Kompleks Pertama, "Bikin orang menangis, senang. Bikin orang ketawa, susah woooo! Abang angkat la ini iPhone satu - manyak nangis wooo!"
Label: MESTI TONTON (Kalau masa tu anda nak pergi kencing - tahan kejap - tengok dulu - kemudian pergi kencing)
4. Untitle [9 minit] arahan Ares Bahar
Sebuah filem pendek yang simple (pada pandangan saya). Tetapi, sesuatu yang simple itulah yang sering membuatkan kita berfikir dengan susah. Untitle mengisahkan tentang 'sumpah sehidup semati', tentang 'janji mesti dikota', tentang 'pertimbangan kita yang berubah-rubah'. Sepatah kata Stephen Keng, pembikin filem hantu-hantu Cina, "Dalam kehidupan, perubahan itu penting, perubahan adalah hijrah, tetapi ia perlulah dilakukan dengan pertimbangan yang sewajarnya'.
Label: TONTON (Kami masih lagi gagal untuk play filem ni dengan DVD Player)
5. The Colours of Ideas [8:15 minit] arahan Low Weiyan
Satu-satunya filem yang menggunakan 100% teknik stop motion (also known as stop action or frame-by-frame) di Maskara Shorties kali ini. Saya tak perlu ulas panjang lebar - anda tengok sendiri. Memang superb. Bagi saya, nak buat filem stop motion untuk 1 minit pun saya dah rasa macam nak hempas kamera, ha ha.
Label: TONTON
Semua dijemput datang! Masuk adalah PERCUMA!