Fiksyen cinta tak kesampaian gua dengan akak baju kurung biru (pegawas)
Gambar: Akak baju kurung biru semasa hari sukan.
Makmal Fizik Tingkatan Lima itu terletak bertentangan dengan Makmal Sains Paduan Tingkatan Tiga. Jarak di antara kedua-duanya lebih kurang 10 meter. Dan, ia hanya dipisahkan dengan satu kawasan berumput yang tidak berapa nak berumput.
Hari itu tidak seperti hari selalu-selalu. Hari itu panas. Dan menggetarkan. Kipas siling yang berputar kuk kek kuk kek tidak banyak membantu. Peluh membasahi baju kurung putih Nita Ahmad sehinggakan gua boleh nampak label BeeDees di bahagian dalamnya. Ya, kami baru selesai kelas Pendidikan Jasmani.
Gua sedang menulis sepucuk surat:
Kehadapan akak baju kurung biru,
Apa khabar akak? Saya harapkan akak sihat sejahtera walaupun sedang sibuk mengulangkaji pelajaran.
Tujuan saya menulis surat... *padam* ...warkah ini adalah untuk berkenal-kenalan dengan akak dengan lebih dekat lagi. Saya berharap agar hasrat saya yang suci murni ini diluluskan... *padam* ...dapat akak pertimbangkan.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
*nama gua*
Kemudian, ada seorang kutu kelas gua sudah tambah ayat di bawahnya:
Putus tali boleh disambung, putus kasih dot dot dot.
[Mmm, macam gampang juga bunyinya 'status' surat gua ni!]
Gua lipat surat gua jadi jet pejuang. Gua hulur tangan gua yang sedang memegang jet pejuang ke luar tingkap nako Makmal Sains Paduan. Bila akak baju kurung biru beratur nak masuk Makmal Fizik itu nanti - gua nak lancarkan jet pejuang ni, getus gua dalam hati.
Hari itu tidak seperti hari selalu-selalu. Hari itu mengetarkan. Dan panas. Kipas siling yang berputar kuk kek kuk kek tidak banyak membantu. Peluh membasahi baju kurung putih Nita Ahmad sehinggakan gua boleh nampak label BeeDees di bahagian dalamnya. Ya, kami baru selesai kelas Pendidikan Jasmani.
Beberapa ketika, kelihatan akak baju kurung biru dan teman-teman sekuliahnya [Sekuliah? HA HA] yang berbaju kurung putih berjalan ke Makmal Fizik sambil menekup dada dengan lab book. Dengan cepat-cepat gua melancarkan jet pejuang di tangan. [Well, apalah sangat yang ada pada daya berpotensi 'sendi tangan cuma boleh gerak kurang daripada 45 darjah sahaja' yang dikenakan kepada jisim 0.1 kg untuk memecut dari Makmal Sains Paduan ke Makmal Fizik!]
Jet pejuang meluncur. Kemudian dengan perlahan-lahan membelok dan berpusing ke arah di mana asal ia datang. Kemudian ia jatuh di kawasan berumput yang tidak berapa nak berumput.
Akak baju kurung biru sudah nampak. Akak baju kurung biru sudah panggil-panggil gua dengan jari telunjuknya.
"Hah adik rambut afro! Jangan buang sampah merata-rata ya! Mmm... akak 'ambil nama' nanti baru taoooo!!!" Akak baju kurung biru sudah cakap. Tangan gua masih terkulai di luar tingkap nako Makmal Sains Paduan. Pegun dan membatu. Seperti tugu.
Hari itu tidak seperti hari selalu-selalu. Hari itu panas. Dan menggetarkan. Kipas siling yang berputar kuk kek kuk kek tidak banyak membantu. Peluh membasahi baju kurung putih Nita Ahmad sehinggakan gua boleh nampak label BeeDees di bahagian dalamnya. Ya, kami baru selesai kelas Pendidikan Jasmani.
Tetapi yang peliknya, tiba-tiba pula gua rasa dingin. Dingin macam sedang mengemam gula-gula Hacks.