"Gua cukup takut bila Sinaganaga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Sinaganaga berfikir. Sinaganaga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya." - Sufian Abas.

24 Jun 2010

Temubual Eksklusif Pengulas Sukan Abu Baker Atang dengan 'Jenderal' Sinaganaga

ABA:
Jika Sindiket Sol-Jah adalah sebuah pasukan bolasepak, bagaimana anda sebagai kapten dan attacking midfielder melihat peranan dan corak permainan rakan-rakan sepasukan anda?

NAG:
Vovin (Striker) – Penyerang lincah yang semakin meningkat mutu permainannya. Ada ketika, permainannya agak ‘tepu dan ketat’ juga, tetapi akhir-akhir ini larian-larian deras dan gelecek-gelecek belutnya sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan; seterusnya berjaya meledakkan gol demi gol dalam setiap perlawanan. Sepatah katanya, “Buat apa main bola kalau tak boleh jaringkan gol!” Penyerang muda berhati waja [tetapi di dalamnya ada taman] ini kini dalam intaian pengarah filem terkenal, Othman Hafsham. Tak lama lagi pakai Merc lah tu.

Pipiyapong (Striker Berkembar) – Selepas pasukan ini menukar formasi kebiasaannya dari 4-5-1 kepada 4-4-2, pemain yang mempunyai nama samaran ‘Pipiyapi’ ini telah dipanggil untuk menyertai kesebelasan utamanya. Bergandingan dengan Vovin di barisan hadapan, pemain ini mempunyai skill individu yang sangat menghiburkan. Bagaimanapun, cubaan-cubaan berani matinya meliar ke gawang gol lawan tanpa membuahkan sebarang hasil. Bagaikan David Beckham dalam pasukan ini – sepak penalti pun boleh tak masuk! Baru-baru ini dia ada membuat kenyataan akhbar memohon maaf kepada bos pasukan Matahari, Amir Muhammad. Tak tahu apa kes!

Op Zaharin (Defensive Midfielder) - Sweeper yang biasa-biasa sahaja permainannya. Tetapi, berkat kesabaran dan sikap tidak jemu untuk belajar – permainan ala-ala syariah compliant-nya kini semakin menyerlah. Pun begitu, hantaran-hantaran silangnya memang mudah diduga oleh pasukan lawan. Bermotokan, “Hujung minggu aku kena pergi outstation!” Op Zaharin adalah di antara nadi kepada pasukan ini. Nama gelarannya di padang – ‘Tauke’.

Tok Rimau (R - Winger) – Bolasepak bukanlah permainannya kerana dia lebih gemar bermain bolakeranjang dan keranjang-keranjang lain. Baginya, bolasepak adalah sukan untuk anak-anak kecil. Sepatah katanya, “Budak tadika pun boleh hitung kalau setakat nak disuruh hitung satu sampai sepuluh!” Baginya, bolasepak adalah fake kalau peminat-peminat pakai jersi beli kat depan Odeon bila tiba musim bolasepak, tak kiralah sama ada musim World Cup atau pun musim EPL.

Jigo (L - Winger) – ‘Kuda Tua’ yang mempunyai corak permainan lintang pukang paling jahanam sekali di dunia. “Ikut mood!” sepatah katanya, “Ada hari naik! Ada hari turun! Selalunya turun!” Satu-satunya pemain pasukan ini yang lahir dari akademi bolasepak dan memperoleh ijazah dalam sastera Inggeris kuno. Corak permainannya adalah sesuatu yang begitu kontra sekali dengan corak permainan Tok Rimau. Itu sebab seorang ‘left’ dan seorang lagi ‘right’. Dalam pasukan ini mereka berdua adalah seteru tahap dewa.

Mat Jan (Fullback) – Sebagai double marked, pantang mendapat bola – pemain ini akan naik ke atas dan… iya, jaringan gol adalah sesuatu yang pasti dan sesuatu yang bagaikan telah dijanji-janji – mesti gol punyalah! Walaupun mempunyai susuk tubuh yang panjang dan berbulu seperti Serbegeth Singh – sesuatu yang dilihat seperti akan memberi masalah kepadanya untuk bergerak sehingga sering digelar sebagai slow walker, slow worker, slowmo, anak manja, cikgu labah-labah – jaringan-jaringan cantiknya belum pernah sekalipun menghampakan pasukan dan penyokong. Sepatah katanya, “Aku tatau pun selama ini aku berbakat – kalau tahu, masa sekolah dulu aku dah main hoki, entah-entah dah wakil negara dah la ni!”

Azzam Supardi (Centre Back) – Pemain yang mempunyai nama gelaran ‘Bulldozer’ ini adalah benteng terakhir pasukan. Pemain ini adalah pemain yang paling banyak mempunyai besi di dalam badan [akibat kemalangan motosikal] dalam pasukan ini. “Sudah terang lagikan bersuluh” adalah moto kegemaran pemain yang gemar mengumpul pelbagai jenis lampu suluh dan benda-benda yang mengeluarkan cahaya ini. Kalau main bolasepak pada waktu malam – dia memang champion!

Dean Sham (Fullback) – Pemain paling kurang berpengalaman dalam pasukan ini. Mempunyai susuk tubuh yang hampir steady – pemain ini gemar membuat umpanan-umpanan jauh ke kawasan lawan. Dan, kita tak pasti sama ada umpanan-impanannya itu boleh mengena ataupun tidak. Sama-samalah kita nantikan keupayaannya di masa-masa akan datang.

Spyz (Goalkeeper) – Sebenarnya dia cuma hendak menjadi penjaga gol sahaja. Tetapi, adakalanya dia diberi tugas untuk menjaringkan gol juga. Dan, pada setiap kali itu jugalah dia gagal untuk menggalas tanggungjawab itu. Manjanggggg handball! Nama samarannya – ‘The Accountant’.

ABA:
Selain mereka, siapakah lagi yang anda perlukan untuk memperkuatkan pasukan anda?

NAG:
Seorang ‘box-to-box’ midfielder macam JJ Okocha. Kita tak tahu siapa. Kita cuma mampu berdoa agar dipertemukan dengan pemain ini pada masa-sama akan datang nanti.

ABA:
Terima kasih.

NAG:
Sama-sama.

23 Jun 2010

Lagenda Rashid Bulan - Bab 3

Cikgu Razali membahagi-bahagikan pemain kepada dua pasukan.

Baris pertama ke kanan. Baris kedua ke kiri. Baris ketiga ke kanan. Baris keempat ke kiri. Dan begitulah seterusnya. Oleh kerana kelas kami cuma ada 20 orang murid lelaki, Cikgu Razali kata, "Kita main sepuluh sebelah!"

Pemain-pemain yang terer-terer semua masuk pasukan Rashid Bulan. Pasukan Ramli Ishak membuat bantahan, "Apa ni cikguuuuu! Team kami loher-loher 'je niiiii!"

Cikgu Razali tidak mengendahkan bantahan pasukan Ramli Ishak. Cikgu Razali kata, "Team Rashid pakai t shirt dan team loher bukak t shirt!"

Ramli Ishak tepuk dahi. Baim, Zul Kecik, dan Hairil Jaslan buka t shirt, tapi kat dalam masih ada singlet dan mereka kata, "Eeeeiiiiiuuuu!"

bersambung...

15 Jun 2010

Lagenda Rashid Bulan - Bab 2

“Main gimnastikkk?” rungut Rashid Bulan, “Tak World Cup langsunggg!!!” sambil disepak-sepaknya angin beberapa kali. Mukanya semakin kemek. Bola Tango yang dia hempas tadi kini berada di bawah tapak kasut jenama Power Cikgu Razali.

“Ok, ok!” kata Cikgu Razali, “Yang lain-lain pergi angkat vaulting box dan pasangkan di gelanggang luar!”

Beberapa orang pemain menanggalkan vaulting box yang bertingkat-tingkat itu satu per satu. Lalu, dengan terkengkang-kengkang mereka mengangkatnya pula ke gelanggang luar.

Kemudian, Cikgu Razali berbincang sesuatu dengan pemain yang memiliki 200 caps itu. [Untuk pengetahuan semua, 200 caps itu Rashid Bulan peroleh hasil daripada perlawanan di antara pasukan kelas kami menentang pasukan kelas sebelah – kelas Yusof Ibrahim.] Beberapa ketika ada pelangi terpancar di wajah Rashid Bulan. Cikgu Razali berpaling kepada pemain-pemain yang sedang memasang vaulting box yang bertingkat-tingkat itu, kemudian.

“Ok, ok, ok!” jerit Cikgu Razali, “Simpan semula vaulting box tu! Tak jadi main gimnastik - hari ni kita main bolasepak!”

Beberapa orang pemain menanggalkan vaulting box yang bertingkat-tingkat itu satu per satu. Lalu, dengan terkengkang-kengkang mereka mengangkatnya semula ke stor peralatan sukan.

“Kejap angkat sana, kejap angkat sini.” kata Hairil Jaslan, pemain kami yang paling loher sekali, “Cikgu ingat ‘kuda kayu’ ni ringan ke? Berat woooo!!!!”

bersambung…

14 Jun 2010

Lagenda Rashid Bulan - Bab 1

Di bilik persalinan di sebuah sekolah pandai, pemain-pemain sedang menukar pakaian sukan masing-masing - berkemeja t warna putih dengan cop lencana sekolah di dada kiri dan ber-track bottom warna gelap jenama Yonex dengan jalur mengikut warna kesukaan masing-masing; ada yang merah, biru, hijau, kuning, dan putih.

Rashid Bulan sedang duduk di bangku sambil menyarungkan kasut jenama Warrior warna biru nila ke kaki. Sesekali kepalanya dilanggar oleh bontot pemain-pemain lain yang sedang menyarung track bottom. Dan, sesekali itu jugalah dia menyisir kembali rambut kobisnya dengan tapak tangan. Cilakak! Bilik persalinan itu terlalu sempit untuk 20 orang permain menukar pakaian sukan sekali gus.

Prit! Pritt! Pritttt!

Bunyi tiupan whistle Cikgu Razali telah berkumandang - menandakan 'siapa lambat - kena denda - tekan tubi 10 kali'.

Pemain-pemain bergegas keluar dari bilik persalinan. Kelihatan, Rashid Bulan sudah sedia terpacak di hadapan Cikgu Razali. Di tangannya ada bola Tango. Dan, dengan tidak semana-mena, ada semilir yang entah dari mana bertiup dan menyapa Rashid Bulan. Tetapi, rambut kobisnya masih kekal tidak beralun. Jadi, dia tidak perlu lagi menyisir rambut kobisnya dengan tapak tangan.

"Ok, semua!" kata Cikgu Razali, "Hari ni kita main gimnastik!"

Rashid Bulan menghempaskan bola Tango ke lantai.

bersambung...

08 Jun 2010

Menjelang PRU13: Viva la Vida

Gogah!

Yang tiada pengalit datang membawa batu blok. Yang tiada batu blok datang membawa simen. Yang tiada simen datang membawa papan. Yang tiada papan datang membawa beroti. Yang tiada beroti datang membawa zink. Yang tiada zink datang membawa paku zink. Yang tiada paku zink datang membawa ensel. Yang tiada ensel datang membawa paku. Yang tiada paku datang membawa tukul. Yang tiada tukul datang membawa gandin. Yang tiada gandin datang membawa gergaji kerat. Yang tiada gergaji kerat datang membawa gergaji belah. Yang tiada gergaji belah datang membawa ketam kayu. Yang tiada ketam kayu datang membawa kayu roll. Yang tiada kayu roll datang membawa sesiku L. Yang tiada sesiku L datang membawa timbang air. Yang tiada timbang air datang membawa tali tape. Yang tiada tali tape datang membawa pengalit.

"Apa hal yang kelam-kabut sangat tu, Rim?" tanya Kak Pinoi, "Nak bina kapal sukarelawan ke Gaza ke?"

"Tak!" jawab Karim Driving School, "Ribut malam tadi... jamban Nenek Munah Leper roboh menyembah bumi! Nak kena baiki dan dan ni jugak ni, Pinoi!"

Kak Pinoi baru kebah dari demam. Dia datang juga. Dengan membawa kertas tisu. "Demam - duduk rumahlah, Pinoi!!!!" kata Pak Akop, bekas ketua kampung.

"Alaaa, Pinoi nak gak tengok-tengokkk!!!" kata Pinoi, ala-ala manja-manja orang demam.

Gogah!

Label:

07 Jun 2010

Aku sakit gigi

Gigi [aku] punyalah macam jahanam. Misi punyalah cantik. Nak bertentang mata punyalah silau dek lampu sorot tahap konsert, alahai!

01 Jun 2010

Menjelang PRU13: Gostan

Gedegup!!!

Mat Trompet memanjangkan tengkuknya. Begitu juga dengan Wak Merah-Merah Taman Kok Doh, Mamang Sulan, Pak Akop, Usop Ludin Tanah Lot, dan Karim Driving School. Yang tak ada pada hari kejadian - Cina Goh dan Haji Dua Kupang. Sebab, Cina Goh masih memungut hutang mesin jahit Singer di serata pelusuk kampung. Sebab, Haji Dua Kupang masih belum pulang sejak semalam. Semalam, ada Merc ambil dia di rumah dan bawa dia keluar entah pergi mana.

Rupa-rupanya tayar lori bawa gas Sami Wel Wel dah terjerlus ke dalam pasir. Memang kampung Stingarden itu dibangunkan di atas bekas tapak lombong, berpasir; tayar kenderaan mudah terjerlus.

Veruuuufp! Veruuuuuuuuufp! Veruuuuuuuuuuuufppp! Bunyi tayar lori bergeser dengan pasir. Tetapi, lori itu tidak juga berjaya lepas daripada tersekat di situ.

"Guna gear gostan-lah, Sami!" laung Mat Trompet, "Gostannnnnn!!!"

"Jalan harus ke hadapan, Mat!" laung Sami Wel Wel, "bukan ke belakang!"

Mat Trompet menepuk dahinya. Begitu juga dengan Wak Merah-Merah Taman Kok Doh, Mamang Sulan, Pak Akop, Usop Ludin Tanah Lot, dan Karim Driving School. Yang tak tepuk dahi pada hari kejadian - Cina Goh dan Haji Dua Kupang. Sebab, Cina Goh masih memungut hutang mesin jahit Singer di serata pelusuk kampung. Sebab, Haji Dua Kupang masih belum pulang sejak semalam. Semalam, ada Merc ambil dia di rumah dan bawa dia keluar entah pergi mana.

Label: