"Gua cukup takut bila Sinaganaga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Sinaganaga berfikir. Sinaganaga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya." - Sufian Abas.

30 April 2010

Cuti sekolah - aku balik ke rumah Mak Long Lijah di Pasir Besar 6

Dulu-dulu, bukan ada Kentaki.

Dulu-dulu, kalau nak makan ayam goreng - kena buat sendiri. Kena tangkap dulu. Kena sembelih dulu. Kena tunggu betul-betul mati dulu. Kena celur dengan air panas dulu. Kena buang bulu dulu. Kena buang perut dulu. Kena potong enam belas dulu. Kena hidupkan api dapur dulu. Kena tenggekkan kuali dulu. Kena tuang minyak dulu. Kena tunggu minyak panas dulu. Apabila minyak dah panas - baru boleh masukan daging ayam dan digoreng sehingga garing!

Nuar menyangga serkap dengan batang ubi berbentuk Y. Pada batang ubi itu Nuar ikat dengan tali rafia panjangggggggg. Pada hujung tali rafia yang satu lagi itu kami bawa masuk menyorok ke dalam kebun ubi. Lalu, kami menunggu dengan penuh kusyuk dan tawaduk.

"Makan ayam rebus kita hari ni!" kata Nuar sambil menggeropes tahi hidung kering di dalam lubang hidungnya. Nuar jempul ibu jari kanannya yang halimunan [Dia selalu lupa yang ibu jari kanannya telah kudung terkena sabit]. Aku jempul ubi jari kanan - tanda ‘yes!!!'.

Satu jam kemudian, aku terbangun dari lelap dan melihat Nuar sedang merebus kacang tanah di dalam tin Dumex kosong. Wah, wah, wah! Ayam goreng berhiaskan kacang rebus ni!

“Eh! Tapi... mana ayamnya?” tanya aku.

“Aku lupa nak tabur padi tadi!" jawab Nuar, “Makan kacang rebus sahajalah kita hari ni.”

...

Dulu-dulu, bukan ada Kentaki. Kalau dulu-dulu dah ada Kentaki - kan ke senang!

Label:

29 April 2010

Hidup biar bersobat-sobat

Aku mohon cuti.

KOMA

Bos panggil aku masuk bilik. Dia persoalkan alasan cuti aku.

Sebab hendak bercuti: 'Nok tolong sobat jual burger!'

HA HA HA.

27 April 2010

Suatu petang, kami mencari Melayu

"Baca buku sahaja tak cukup... kena berguru juga, sheikh!" kata ustaz Hamka sambil menjamah nasi berlauk ayam goreng kunyit kesukaannya.

KOMA

Adakalanya, apabila keadaan mula mendesak dan menghimpit, manusia akan mula mencari-cari. Kita akan mencari-cari jawapan kepada sebab dan akibat. Kita akan mencari-cari jawapan kepada persoalan 'siapa kita sebenarnya'. Kita akan mencari-cari jawapan kepada persoalan 'kita ini Melayukah'. Kita akan mencari-cari jawapan kepada persoalan 'apa itu Melayu sebenarnya'. Dan perbagai persoalan-persoalan lain yang kita pun tak berapa pasti persoalan dan jawapannya, alahai!

Adakalanya, kita rasa macam kita telah menjumpai jawapan kepada persoalan-persoalan kita tadi. Makanya, kita akan menerapkan segala kepercayaan itu ke dalam kehidupan seharian. Dan, kita namakan hal ini sebagai jatidiri. Jatidiri kita adalah jatidiri Melayu!

Kemudian, apabila kita berkarya - kita akan menerapkan nilai-nilai keMelayuan [yang kita rasa kita dah jumpa jawapannya] itu ke dalam karya kita. Kita akan menerapkan motif flora seperti pucung rebung, pucuk paku, pucuk pakis, pucuk labu, pucuk betik, pucuk turi, dan segala macam tok nenek pucuk ke dalam seni tampak kita. Dan, kita akan menerapkan motif fauna seperti pakaka, helang menyonsong angin, nagasasra, ayam patah kepak, pari mudek, dan segala macam tok nenek mergastua ke dalam seni tampak kita. Tidak cukup dengan itu, sebagai orang Melayu tulen, kononnya, kita akan menerapkan motif-motif alam seperti awan larat, buih ombak, dan sebagainya juga.

Nah! Akhirnya kita namakan karya kita yang menerapkan nilai dan motif itu tadi sebagai, 'Hah! Ini barulah [lukisan] Melayu!'

KOMA

"Melayu ni bukan bangse, tetapi prinsip kehidupan! Arrahman arrahim dalam bismillah tu mok ayoh kite!" kata seorang teman yang kononnya telah menjumpai jawapan kepada persoalan 'apa itu Melayu'.

Semak punya semak, check list punya check list - banyak ciri-ciri keMelayuan seperti yang diperkataankan itu tiada dalam diri kami.

"Kita ni bukan Melayu gamoknye, Dolloh!" kata aku.

"Ho la!" kata Abdulloh Jong.

"Habih tu... kita ni Mat Saleh ke, Dolloh?" tanya aku.

"Dok! - Kita ni Jakun!" jawab Abdulloh Jong.

Lepas tu Abdulloh Jong melukis dua butir kerandut tak sama tinggi dan aku... pung pang pung pang menghisap rokok, lepas satu batang ke satu batang yang lain. Dalam kepala - 'aku nak lukis keMaluanlah'!

Perap pap pa, beb!

Hari tu, dia di rumah, terperap. Bagaikan daging lembu dan seasoning steak.

Sade sedang berlagukan Jezebel. Acrylic terpercik di lantai. Kuala Lumpur macam selalu-selalu, hanyir.

"Sedikit lagi, sayang... sedikit lagi nak siap dah lukisan abang ni!" kata daging lembu itu.

Bagaikan daging lembu dan seasoning steak. Hari tu, dia di rumah, terperap.

22 April 2010

English 122: Back to The Future

"Ermmm - saya indie, bang!" beritahu mamat yang biasa-biasa sahaja gaya penampilannya - berbaju t, berseluar jean, berambut spike; tak hisap rokok.

"Ermmm - but, you look like Malay-lah! Susah gua nak percaya ni, Jeff!" ulas 'brother' ber-tattoo sauh di telinga kanan yang pung pang pung pang dia punya skill hisap rokok itu.

English teacher gua, Mrs Nathan tiba-tiba muncul dan berdekah-dekah sambil menghantukkan kepalanya ke papan hitam. Dan kemudian, cepat-cepat dia *plop* macam selalu-selalunya.

21 April 2010

Maskara 21 [8 Mei]

19 April 2010

Stingarden: ulasan oleh Fadli al-Akiti

Sinaganaga merupakan seorang penulis humor yang segar, memberi kita kelincahan teks yang mencuit sekali gus menerangkan secara tersirat akan realiti sosiobudayanya. Dan sememangnya saya setuju dengan Mamat Khalid yang merasmikan pelancaran buku ini, bahawa antara tiga buku yang dilancarkan, buku Sinaganaga ini sesuai untuk difilemkannya atas sebab pemahaman yang "bijak" berkenaan dunia melaratnya serta mempunyai cerita yang menyeronokkan dan ceria tentang sebuah realiti yang tidak selalu disentuh oleh penulis mapan.

Sebuah buku "dedikasi sebenar" untuk kota Kuala Lumpur.

BACA SELANJUTNYA!

15 April 2010

MOGOK BLOG

Gua MOGOK ber-blog! Dan, gua memang poyo! HA HA.

07 April 2010

Rahmat bahgia tuhan kurniakan

Malam tadi gua bermimpi.

Kawan gua, Rahmat Haron berkaraoke. Sambil mengibas rambut rasta look-nya ke belakang, dia berkata, "Saye cube, ye!"

Dulu, gigi gua, kunyah tebu pun steady saja. Kini, gigi gua, kunyah petai pun sakitnya bukan kepalang.

Dulu, bukan ada banyak stesen TV pun, bukan ada tayang MTV pun, bukan ada Lady Gaga yang 'explicit [sexual nature]' pun. Kalau ada pun yang hampir-hampir 'explicit' - M. Daud Kilau.

Dulu, bukan ada ASWARA pun. Kalau ada pun yang hampir-hampir ASWARA - Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS). Yang ada di APS - Idris Salam, Shamsuddin Mansor, Aris Aziz, Rafie Rahman, Amiruddin, Sani Mohd. Dom, Mazli Mat Som, Mustafa Yahya, Ismat Alang, Ghani Ahmad, Hamid Balai Seni Lukis, Amron Omar, dan Samjis Mat Jan - yang sudah menjadi semacam cikgu-cikgu dan abang-abang kepada gua.

Dulu, gua, Makmur Jantan, Aminah Abd. Rahman, Raja Nizam, Badrul Hisham (kurator Galeri Petronas), Azizah, Ila (isteri kepada pelukis Zulkifli Yusoff), Man Tiup-tiup (budak Bukit Sekilau, Kuantan), Zainal TJ, dan Meor Ahmad Fuad (Din Beramboi) melepak siang malam di APS. Cita-cita kami nak jadi pelukis!

Dulu, gua dan Meor miskin. Nak makan pun tak berduit. Kalau lapar - buah rambutan yang merah meranum di tepi bangunan APS itulah yang kami makan sampai kenyang. Apabila perut kenyang, hati pun senang - Zainal TJ akan bermain piano, Meor akan menyanyi lagu entah apa-apa, dan gua... ya, gua masih makan buah rambutan lagi. Meor selalu pesan, "Simpan-simpanlah sikit untuk esok, Jimi!"

"Dah tak ada dah kawan kita tu!" kata abang Ghani Ahmad yang gua jumpa di CM tadi, "Iyalah... ada orang suka dia, ada orang tak suka dia.... Serupa macam kita juga... ada orang suka kita, ada orang tak suka kita!"

Tiba-tiba gua teringatkan buku gua, Stingarden. 'Iyalah... ada orang suka, ada orang tak suka.... ada orang kata Stingarden lucah! Tapi, gua kata Stingarden tak lucah! Stingarden klinikal!'

"Relakslah, Jimi! Tuhan pun bukan semua orang suka, apatah lagi manusia biasa macam kita!" kata Nazri M. Annuar yang tiba-tiba muncul dan *plop* macam selalu-selalu.

Kawan gua, Rahmat Haron masih berkaraoke. Sambil mengibas rambut rasta look-nya ke belakang, dia menyanyi, "Rahmat bahgiaaaaaaaaa tuhan kurniakannnnnnn...."

Bermimpi gua tadi malam.

BISIKS dibatalkan!

Program Bicara Sol-Dadu Sindiket Sol-Jah yang dijadualkan pada 10 April 2010 terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan dalam negeri. Pihak penganjur memohon maaf atas kesulitan.

Harap maklum.

06 April 2010

Bila

Bila rindu kau serulah namaku.