"Gua cukup takut bila Sinaganaga berfikiran macam ni. Sebenarnya gua cukup takut bila Sinaganaga berfikir. Sinaganaga memang serba boleh, dan mempunyai misai yang sungguh jantan, tapi berfikir bukanlah kekuatannya." - Sufian Abas.

24 Februari 2005

Rimau belikan peti ais

RIMAU: Sdg dinner dgn spyz d senibong jb. Aku titip ole2 utk kau. Cri dia bila dia sampai kl esok.

NAGA: Kau belikan aku peti ais ke? ;-)

17 Februari 2005

Ofuro (first time)

Kami tinggal di 'Gasshoo Tsukuri'. Di Gokayama. Dua tiga hari. Lama yang terasa sekejap.

Kerana tidak terdapat kemudahan untuk mandi di 'Gasshoo Tsukari' ini, Hitomi mengajak kami ke 'onsen' yang berhampiran. Di Korobe-Onsen.

"Jom 'ofuro'!"

"'Ofuro'? Kau dan aku akan bercampur di dalam kolam yang sama ke nanti? U uu 'best'nya!"

"Tak."

"Ooo..."

Tentu sajalah kami akan berasa kesal seumur hidup kerana tidak dapat sekolam dengan Hitomi, alahai!

Raman, hitam warna kulitnya, seperti India. Asmuni, putih warna kulitnya, seperti Cina. Aku? Merah jambu.

Kami duduk sebaris, tanpa seurat benangpun, punggung mulus di atas bangku kecil, mengadap dinding, memberus gigi, bershampoo, bersabun, mandi air panas dari pancuran. Dan ketawa terkekek-kekek. Mengenangkan warna kulit kami yang berbelang-belang. Hitam. Putih, Dan merah jambu. Yang duduk sebaris. Mengadap dinding. Bergoyang-goyang. Apabila dilihat dari belakang. Ketika memberus gigi.

'Ofuro' ini ada tertibnya. Sebelum masuk tuntas ke dalam kolam - elok menyiram kaki dengan air panas dari kolam. Kemudian, masuklah secara berdikit-dikit. Ini bertujuan untuk mengimbangkan suhu badan dengan air kolam yang menjangkau 46 darjah Celsius (untuk lelaki) atau 42 darjah Celsius (untuk perempuan).

Oleh kerana kami tidak membawa towel kecil untuk menutup 'anu', kami cekup 'anu' dengan kedua-dua tapak tangan sahajalah. Dan dengan laju-laju menjengket-jengket ke kolam air panas. Sungguh!

Baru keriangan hendak bermula, Adnan, kawan aku yang lagi satu, melompat keluar dari kolam dalam keadaan tergesa-gesa.

"Oit! Kenapa kau?"

"Masak!"

"Apa yang masak?"

"Telur!"

Sejak hari itu, kami menjadi penagih tegar 'ofuro'!

Dia budak ragbi. Dulu.

"Aliiiiiii!"

"Bukan. Aku Husin!"

Yalah, aku tak salahkan Zamsari. Dah lebih 20 tahun kami tak berjumpa. Dia tersalah teka: yang mana satu Ali, yang mana satu Husin. Dan antara Mamak dan Malbari, memang susah nak dibezakan, alahai! Husin, kini, dah berjanggut panjang. Kurang lima inci - sehasta!

Dan, yang paling aku bimbang, kalau-kalau Zamsari meneka aku ini Misliah.

Dari pengamatan aku, Zamsari tak banyak berubah. Kakak-kakaknya memberitahu, dulu, semasa baru berkahwin, dia menjadi gemuk. Sekarang, dah susut sedikit. Dia kawal pemakanannya, mana yang boleh.

Zamsari tahu dia ada penyakit kencing manis. Dah sepuluh tahun dia tahu. Kakak-kakaknya pun mengidap jenis penyakit yang sama. Kencing manis.

Isteri Zamsari - misi. Dan isterinya pun tahu dia ada kencing manis.

Zamsari ambil keputusan untuk bersetuju dengan pandangan doktor. Ibu jari kaki kirinya dipotong! Putus!

"Aku dah rasa okay dah. Suhu badan dah kembali setabil. Dah kebah rasanya". Katanya, walaupun semasa kami sampai, dia sedang terasa loya. Dia muntah. Dalam gayung. Warna biru. Gayung! Dalam beg plastik juga. Kemudian. Dia salahkan bau mi yang datangnya dari katil sebelah. Kakaknya salahkan bubur nasi dan kakaknya yang lagi satu salahkan dia yang hanya banyak minum air kosong. Aku? Aku nak salahkan Husin. Saja!!!

Aku, Usin, dan Zamsari bersetuju (via telepati) - memotong jari kaki kiri itu merupakan langkah yang sebaik-baiknya.

Satu tentang Zamsari yang masih serupa - dia ni jenis spesis penakut ya amat! Dari zaman kami bersekolah lagi. Takut segalanya. Walaupun dia bermain ragbi untuk pasukan sekolah.

"Masa mereka 'dressing' (kaki aku), aku tutup mata (dengan selimut). Eeeeee... takut! Tapi aku curi-curi pandang dari celah-celah selimut (jarang). Ya lah, esok lusa aku kena terima juga hakikat yang ibu jari kaki aku dah tak ada".

Dan, sebelum beredar, sempat aku berbisik kepadanya: "Psstt! Aku bukan Misliah tau...."

Aku belajar satu: Tak kiralah jika kita ini pegawai bank ke, misi ke, bidan ke, pereka grafik ke, penganggur ke, pensyarah linguistik ke, kontraktor binaan ke, doktor ke - sakit boleh singgah pada bila-bila masa.

Dan, kalau kita menyorok di Kuala Selangor ke, di Tanjung Karang ke, di Sentul ke, di Masjid Jamek ke, di Muar ke - penyakit tak susah-susah nak cari kita. Tak macam Husin dan aku cari Pusat Perubatan Pantai di Kelang dan jalan balik ke Kuala Lumpur.

"Oit! Ada istana Alam Shah lah di sini!".

"Sin! Kita dah silap jalan dah ni weh!!!".

09 Februari 2005

Dewi Fortuna dan Tiga Belas Ekor Haiwan

Kononnya, dulu, di kayangan, Dewi Fortuna menyayangi kucing, lebih, daripada haiwan-haiwan yang lain. Tentu sahajalah, kerana kucing mempunyai keterampilan diri yang menarik: 'cute', manja, lenggokkannya yang memikat, rajin membersihkan diri, pandai akrobatik dan ngiaunya yang menjadi siulan anak-anak muda. Lantas keakraban ini dicemburui oleh haiwan-haiwan lain.

Pada suatu hari, Dewi Fortuna mendapat ilham. Dia ingin membentuk 'shio' dari dua belas ekor haiwan yang berlainan. Supaya senang untuk manusia di dunia mengira umur mereka, kelak. Maka diedarkannya surat pekeliling.

"Aduhai haiwan-haiwan semua! Beta mahu membuat 'shio' Dua belas kesemuanya. Terhad!! Siapa cepat, dia dapat ya! Yang tidak berjaya, nanti, janganlah berkecil hati. Bukan kamu kalah, cuma kemenangan kamu tertangguh. Cuba lagi lain kali! Dan kucing, kamu jangan lupa datang tau! 'Can't wait to see ya!'"

Maka berbarislah haiwan-haiwan di pintu masuk utama kayangan. Kucing. Tikus. Lembu. RIMAU. Arnab. NAGA. Ular. Kuda. Kambing. Monyet. Ayam Jalak. Anjing. Dua belas ekor kesemuanya. Yang terdahulu sampai. Yang lain? Di arah pulang ke bumi.

"Tikus! Aku mengantuklah. Malam tadi aku tidur lewat. Ada mesyuarat persatuan. Biasalah, apabila ada mesyuarat persatuan ni, nikotina akan banyak terkumpul di dalam badan. Tu yang susah nak tidur tu... Aku nak berbaring. Kejap. Apabila sampai masanya untuk mengadap Dewi Fortuna, kau kejutkan aku ya! Janji tau!" Kata kucing. Kepada tikus, di belakangnya.

"Ok, aku janji!" Kata tikus.

Apabila sampai masanya, pintu masuk utama kayangan pun dibuka. Dan haiwan-haiwan tersebut pun berlumba-lumbalah masuk mengadap Dewi Fortuna.

"Aik? Sebelas sahaja? Tak cukup satu ni... mana kucing?"

"Kucing??? Aaaa... dia selsema cikgu!"

"Ok. Tak apalah jika begitu. Tikus, kamu turun semula ke bumi dan panggil seekor binatang yang jaraknya paling hampir dengan kayangan (yakni yang mula-mula sekali akan dijumpai oleh tikus)."

Maka turunlah tikus dari kayangan. Ke bumi. Dan binatang yang mula-mula sekali ia jumpa - daging babi panggang yang dijunjung di atas kepala oleh seorang pakcik tukang masak berbangsa Cina. Lalu diajaknya waris terdekat daging babi panggang yang masih hidup. Ke kayangan. Dan lengkaplah 'shio' Dewi Fortuna untuk dua belas tahun itu.

"Laaa... kenapa kau tak kejutkan aku? Laaaa... kau memang sengajalah... 'boring' betullah kau ni...."

NOTA KAKI BANGKU: Sebab itu kucing tidak tersenarai dalam dua belas 'shio' kalendar luna. Dan sebab itu kucing menjadi seteru tikus hingga ke hari ini. Allahualam!

Gong Xi Fa Chai!

Bahasa Jiwa Bangsa

gemulah = Kl almarhum (orang yg telah meninggal), arwah

- Kamus Dewan, Edisi Ketiga; ms 389

04 Februari 2005

Orang Kerinci boleh 'morph' jadi Rimau

Gemulah Mak Long Lijah bercerita. Kononnya, orang Kerinci boleh bertukar bentuk menjadi harimau.

Pada suatu senja, singgah seorang pengembara (disyaki berketurunan Kerinci) ke sebuah teratak untuk menumpang bermalam.

Dipendekkan cerita, oleh kerana teratak itu hanya mempunyai dua buah bilik tidur, tuan punya rumah suami isteri mempersilakan pengembara untuk tidur sebilik dengan anak lelaki mereka (baya-baya Nazmi). Pada malam itu, mereka mendengar seakan-akan bunyi harimau "eermmm" di bilik sebelah...

Esok paginya, sekitar waktu subuh, pengembara pun meminta izin untuk pergi.

"Makcik! Pakcik! Saya minta diri dulu. Terima kasih kerana menumpangkan saya tidur. Tengah malam tadi, saya makan (buah) 'nangka'. 'Getah'nya bersepah. Tak sempat saya nak kemaskan. Minta pakcik dan makcik kemaskan nanti ya!"

"Ok!" Kata tuan punya rumah suami isteri.

Dan apabila tuan rumah suami isteri ke bilik sebelah untuk mengemaskan 'getah nangka' yang dikatakan tadi... mereka terkejut melihat anak lelaki mereka (yang baya-baya Nazmi) hanya tinggal kepala + tulang temulang + darah berselerakan.

Dari cerita gemulah Mak Long Lijah, aku belajar satu: See! Rimau Jadian pun pandai bersastera... Metaforanya kelas, taraf super sayah empat!

Beberapa tahun yang lalu. Aku ke Kerinci Sebelat, Sumatera Barat (Sumbar), Indonesia. Berkelana bersama-sama Not. Cuma kami berdua. Dan kami tanyakan kepada masyarakt setempat tentang cerita kononnya orang Kerinci boleh bertukar bentuk menjadi harimau.

"Bapak bisa 'morph' jadi macan ngak? Boleh kasi keluar ekornya ngak?"

"Loh! Gila kamu. Mana bisa akuu... untuk menjadi orang pun masih belum tentu suksesss..."

Rata-rata mereka tidak mahu mengaku (tentang kebolehan mereka yang satu itu). Tapi, aku dan Not perasan, ada sebuah tugu harimau besar dibina oleh pemerintah di pintu masuk ke Kerinci Sebelat. Berhampiran dengan ladang teh dan ladang pokok kayu manis. Gambar-gambar? - Rujuk Dewan Siswa, Oktober 1998.

03 Februari 2005

Laga bahu

Rimau: Kau kerja di sini, selalulah berlaga bahu dengan sasterawan ya...

Naga: Selalu. Cuma, aku kenal mereka... mereka yang tak kenal aku.

Rimau: Oooo...

02 Februari 2005

Mat Jan tak pakai tudung

Nazmi: Kejap. Aku nak pergi ambil orang di stesyen Hang Tuah.

Aku: Pakai tudung tak?

Nazmi: Tak. Aku dah suruh dia pakai tudung... tapi dia tak mahu. Kejap ya!

Nazmi ber'kapchai'. Ke stesyen LRT Hang Tuah. Mengambil 'aweks'. Tinggal kami berdua. Rimau vs Naga. Bercerita. Hal itu ini itu ini... (hal UPM, hal mural DBP yang diperbuat daripada mozek dari Itali, kubur di sepanjang Jalan Lapangan Terbang Lama, dan lain-lain).

Sekejap. Nazmi datang semula. Dengan Mat Jan yang membonceng. Di belakang. Belakang Nazmi.

Aku: Laa... patutlah dia kata 'tak pakai tudung!!!'

Oleh kerana 'honda cawan' Nazmi tidak boleh naik berempat - aku, Rimau dan Mat Jan 'menapak' dari BUCU KITA ke rumah PENA. Di sebabkan ketiga-tiganya popular amat, ada Mohd. Papa Radzi 'tangkap gambar' kami yang sedang 'shooting' untuk rancangan Jalan-jalan Cari Hantu (terbitan saluran TV yang lagi satu).

http://shw.fotopages.com/4092805.html

NOTA KAKI BANGKU: Beg plastik hijau muda di tangan Rimau mungkin mengandungi alat-alat menangkap hantu atau kepala manusia untuk diletakkan di tiang jambatan.