Mengapa Melaysia tidak boleh menjadi negara maju 3
Aku penat. Beg galas aku berat. Bateri iPod shuffle aku habis di saat Hafiz sedang melagukan bait-bait Deritaku Deritamu. *Menyumpah* Aku jentik putung rokok terus ke dalam tong sampah. Masuk!
Semasa aku turun ke platform LRT, ada pasangan hipster sedang duduk-duduk di atas tangga sehingga menghalang perjalanan. [Aku syak mamat tu hipster sebab dia pakai topi macam Chef Sherson Lian dari rancangan TV 5 Rencah 5 Rasa tu pakai]. Jadi, aku sepak mamat hipster tu. Tepat di belakang rusuk dia. Kalau dia anak anjing - dia akan keluarkan bunyi, “Kengggg!”
Aku cakap, “TEPI!!!” Mamat hipster tu mengaduh dan bangkit dan pandang aku dengan muka tak puas hati. Aku pandang dia semula. Aku buat-buat muka macam abang-abang polis IPD Sentul (cawangan kongsi gelap). Kemudian, aku blah! - cari bangku yang ada kipas angin terpacak di atasnya.
Masa tu, apa yang bermain di fikiran aku - sistem pendidikan negara ini telah gagal dan ibu bapa juga telah gagal dalam mendidik mamat hipster ini menjadi insan yang kompeten. [Aku guna perkataan ‘kompeten’? Pergh!].
Mula-mula aku rasa bersalah. Kemudian, lama-lama, aku rasa ok. Harap-harap aku telah menghalang sebuah kezaliman (kerana ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’). Harap-harap mamat hipster tu ambil kejadian tadi sebagai iktibar. Supaya lain kali dia boleh sepak hipster lain yang duduk di tangga pula.
Masa aku keluar dari LRT - ada orang buta keluar dari LRT juga. Kendatipun dia guna tongkat boleh lipat-lipat tu - dia masih langgar-langgar papan tanda iklan di platform LRT tu. Jadi, cepat-cepat aku sauk lengan dia. Konon, nak bantu dialah... Sebenarnya, nak cover semula dosa aku sepak mamat hipster tadi. HA HA.
“Tak apa, bang! Saya kerja sini [yakni, dia nak beritahu aku yang dia memang dah expert dengan kawasan stesen LRT ni]!”
‘Kerja sini?’ Aku macam tak percaya. ‘Takkanlah orang buta kerja dengan syarikat LRT. LRT tak berlanggar ke nanti?’ Getus hati ‘besar’ aku. [Besarlah sanggggggat!]
Aku membontoti dia. Dia tak perasan pun [Rasanyalah]. Lepas tu dia keluar dari stesen LRT menuju ke jenjatas SOGO, dia buka beg besar yang dikelek, dia keluarkan kerusi boleh lipat-lipat dan...
...beberapa bungkus kertas tisu.